KOTA KINABALU: Calon Pilihan Raya Parlimen Belia Sabah, Shadam Abu, mengetengahkan manifesto yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, peningkatan kemahiran dan pembentukan kepimpinan belia bagi membina masa depan yang lebih sejahtera.
Menerusi gagasan “Bersama Belia Membangun Ekonomi Masa Depan”, Shadam membawa aspirasi untuk melihat golongan muda bukan sekadar menjadi pencari pekerjaan, tetapi turut berperanan sebagai pencipta peluang, penggerak ekonomi dan penyumbang kepada pembangunan negeri amnya khususnya negara.
Antara agenda utama yang diketengahkan ialah merancakkan ekonomi belia melalui galakan keusahawanan, pembukaan ruang perniagaan serta usaha memperluas peluang ekonomi. Matlamatnya adalah untuk membantu belia membina sumber pendapatan, mengembangkan potensi dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih stabil.
Shadam turut memberi penekanan kepada penyediaan belia yang berkemahiran melalui latihan, pendidikan dan pembangunan kompetensi yang bersesuaian dengan keperluan semasa. Kemahiran praktikal, penguasaan teknologi dan kesediaan menghadapi perubahan dunia pekerjaan merupakan antara aspek penting bagi memastikan golongan muda terus relevan.
Selain itu, manifesto berkenaan menekankan usaha memperkukuh ekonomi belia serta membentuk generasi yang mempunyai daya saing tinggi dan berjiwa kepimpinan. Belia perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan idea, menyertai proses membuat keputusan dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan masyarakat.
Berteraskan slogan “Belia Berdaya, Ekonomi Sejahtera” dan “Bersama Belia, Kita Boleh!”, manifesto Shadam Abu membawa harapan agar potensi anak muda dapat diterjemahkan kepada peluang serta hasil yang nyata. Kejayaan agenda ini memerlukan perancangan yang jelas, pelaksanaan berkesan dan kerjasama semua pihak supaya aspirasi belia dapat dibina menjadi masa depan yang lebih berdaya maju. – DAKWAT RAKYAT POST
