TAWAU: Lapan pelajar lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, atas pertuduhan terlibat dalam pergaduhan dan rusuhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Batu 5, Jalan Apas, pada 10 Julai lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mengambil bahagian dalam satu perhimpunan yang disertai perbuatan bergaduh dan merusuh di hadapan sekolah berkenaan kira-kira jam 11 pagi pada tarikh berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadisun.
Sebelum ini, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan memaparkan pergaduhan antara beberapa pelajar sekolah menengah dengan seorang lelaki awam.
Dalam rakaman berkenaan, lelaki terbabit dilihat memakai topi keledar ketika berlaku pergaduhan.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai tercetus susulan perselisihan yang berkaitan dengan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang dikatakan telah dihasilkan melalui suntingan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Gambar dan video terbabit dipercayai telah diubah suai dengan menggunakan wajah dua individu sebelum disebarkan di media sosial.
Kes berkenaan kini menunggu laporan akhlak JKM sebelum mahkamah menentukan hukuman terhadap kesemua tertuduh. – DAKWAT RAKYAT POST
