Beijing: Masa perjalanan murid dari kampung di kawasan lembah ke sekolah di puncak tebing dipendekkan daripada tiga jam kepada hanya 30 minit, berikutan pembukaan lif pemandangan setinggi 288 meter (m) di Xuanwei, wilayah Yunnan, di barat daya China, lapor The Express Tribune.
Kemudahan berfungsi sebagai ‘transit awan’ itu memudahkan pergerakan murid yang tinggal di kawasan berkenaan.
Kampung Nizhuhe ialah sebuah perkampungan kecil yang terletak di lembah dalam hasil pembentukan Sungai Nizhu yang mengalir dari selatan ke utara.
Sebelum ini, laluan terpendek untuk penduduk dari dasar lembah ke puncak gunung adalah laluan tebing yang berbahaya dengan mengambil masa hampir enam jam untuk perjalanan pergi dan balik.
Kanak-kanak dan ibu bapa yang tinggal di kawasan berkenaan sebelum ini terpaksa melalui perjalanan sukar itu sekurang-kurangnya sekali setiap 10 hari.
Kini, kawasan tarikan pelancong tempatan di sepanjang Sungai Nizhu siap dibangunkan dan mula beroperasi secara rasmi.
Sistem lif pemandangan setinggi 288 m dan kereta kabel disediakan secara percuma kepada penduduk Nizhuhe serta kawasan berhampiran sekali gus menyediakan akses terus ke puncak gunung melalui apa yang disifatkan sebagai ‘transit awan’.
Dengan adanya kemudahan pengangkutan, lif pemandangan dan kereta kabel di kawasan pelancongan itu, perjalanan murid ke sekolah kini dipendekkan kepada hanya setengah jam sahaja.
Kredit sumber: Harian Metro
