KOTA KINABALU, 23 Oktober 2026 – Kerajaan Negeri Sabah bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersepadu bagi menyelaras tindakan terhadap resort, hotel, chalet dan premis penginapan jangka pendek yang beroperasi tanpa lesen di Daerah Semporna.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Facebook Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berhubung mesyuarat yang diadakan pada jam 3 petang di Pejabat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Wisma Innoprise, pada Rabu.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jafry Ariffin.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd. Sainal; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap I KKTP, Faridah Giau; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Augus Tamaning; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) Jabatan Tanah dan Ukur, Callixtus Osoi, bersama pegawai kanan kedua-dua kementerian.
Penubuhan Jawatankuasa Bersepadu KKTP–KEPKAS itu bertujuan memperkemas kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan, khususnya dalam menyelaraskan tindakan penguatkuasaan serta menentukan langkah susulan terhadap premis yang dikenal pasti beroperasi tanpa lesen.
Bagi memastikan pelaksanaan tindakan berjalan lebih teratur, Pembantu Menteri I KKTP, Fairuz Renddan, dan Dr. Andi Md Shamsureezal ditetapkan sebagai Timbalan Pengerusi Bersama. Jawatankuasa Pelaksana pula akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap KKTP dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS).
Mesyuarat turut menetapkan bahawa tindakan terhadap premis penginapan berkenaan perlu mengambil kira maklumat serta status sebenar setiap premis bagi memastikan langkah yang dilaksanakan bersesuaian dengan keadaan masing-masing.
Sehubungan itu, mesyuarat susulan akan diadakan selepas maklumat daripada Jabatan Tanah dan Ukur diperoleh, terutama berkaitan status tanah bagi resort yang terlibat. Maklumat tersebut akan menjadi asas kepada perbincangan lanjut bagi menentukan tindakan yang bersesuaian serta meningkatkan keberkesanan penyelarasan antara agensi.
Kerajaan Negeri Sabah komited menangani isu premis penginapan jangka pendek tanpa lesen di Semporna melalui kerjasama bersepadu antara kementerian, pihak berkuasa dan agensi berkaitan, selaras dengan keperluan mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa. – DAKWAT RAKYAT POST
