LAHAD DATU, 15 Ogos 2026 – Sebanyak 211 Vesel Nelayan Tempatan (VNT) diperiksa manakala dua vesel ditahan dalam Operasi Bersepadu MARDOF Sabah Siri 5/2026 yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu bersama Jabatan Perikanan (DOF) Lahad Datu.
Operasi yang berlangsung dari 4 hingga 14 Ogos lalu itu memberi tumpuan kepada pemantauan pematuhan syarat lesen vesel, pemeriksaan identiti tekong dan kru serta penggunaan peralatan menangkap ikan yang dibenarkan di perairan Lahad Datu.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan selama tujuh hari di laut bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, daripada 211 VNT yang diperiksa, seramai 90 individu turut diperiksa, terdiri daripada 58 warga tempatan dan 32 warga asing.
“Dua VNT ditahan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 di perairan Lahad Datu dan Kunak,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah penggunaan bahan letupan bagi aktiviti menangkap ikan serta menangkap ikan pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari pulau terhampir.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan yang membabitkan kedua-dua kes tersebut dianggarkan berjumlah RM206,000.
Operasi MARDOF Sabah Siri 5/2026 dilaksanakan secara berperingkat merangkumi fasa pengenalan, operasi di laut, operasi di daratan dan sesi debrief.
Seramai 30 pegawai dan anggota daripada Maritim Malaysia Zon Lahad Datu serta Jabatan Perikanan Lahad Datu terlibat dalam operasi berkenaan.
Komander Maritim Dzulfikhar berkata, kerjasama antara kedua-dua agensi itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim selain membanteras kegiatan penangkapan ikan secara haram.
“Kerjasama ini juga penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara terus terpelihara,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diminta membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui mengenai aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – DAKWAT RAKYAT POST
