KINARUT, 15 Ogos 2026 – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), susulan penilaian terhadap perkembangan politik selepas pilihan raya lalu.
Presiden KDM, Priscella Peter berkata, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah, namun perlu dibuat bagi memastikan parti itu mempunyai hala tuju yang jelas untuk rakyat dan akar umbinya.
Menurut beliau, perkembangan yang berlaku selepas pilihan raya lalu turut memberi kesan terhadap sokongan di peringkat akar umbi parti.
“Jadi, kami telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam Kerajaan GRS. Keputusan ini sungguh berat, tetapi apa yang penting bagi kami adalah kami dapat menunjukkan kepada rakyat, kepada akar umbi kami, bahawa kami mempunyai hala tuju untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan KDM untuk tidak lagi berada dalam kerajaan GRS, di sini.
Priscella berkata, keadaan selepas pilihan raya sememangnya memberi kesan kepada akar umbi KDM dan perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan parti.
Katanya, KDM perlu membuat keputusan yang tepat bagi memulihkan serta mengukuhkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap parti berkenaan.
“Kita perlu melihat apa yang terbaik untuk parti dan rakyat supaya keyakinan serta kepercayaan mereka terhadap KDM dapat dibina semula,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan KDM tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang hanya aktif apabila pilihan raya semakin hampir atau ketika pembubaran Parlimen bakal berlaku.
Sebaliknya, katanya, KDM mahu terus berada bersama rakyat dan memperjuangkan aspirasi mereka secara konsisten tanpa mengira keadaan politik semasa.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan parti terus mempunyai hubungan kukuh dengan akar umbi serta memahami keperluan dan harapan rakyat.
Priscella berkata, keputusan untuk bergerak tanpa berada dalam kerajaan GRS juga memberi ruang kepada KDM untuk menentukan hala tuju politiknya berdasarkan prinsip serta kepentingan rakyat.
Katanya, parti akan terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi bagi mendapatkan semula keyakinan masyarakat terhadap KDM. – DAKWAT RAKYAT POST
