KOTA KINABALU, 15 Ogos 2026 – Lebih 30 asatizah, penggerak dakwah, daie dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun pada Liqa Mahabbah Sabah Siri 1/2026 anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Cawangan Sabah, hari ini.
Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang itu mengetengahkan tema “Sejarah Islam di Sabah: Perkembangan, Permasalahan dan Penyelesaian”.
Penganjuran berkenaan menjadi medan pertemuan dan perkongsian ilmu dalam kalangan penggerak dakwah bagi membincangkan perkembangan sejarah Islam di Sabah serta cabaran semasa berkaitan dakwah, pendidikan, mualaf dan usaha memperkukuh gerakan dakwah di negeri ini.
Sesi perkongsian dimulakan Prof. Madya Dr. Borhanuddin Abdullah yang membincangkan aspek dakwah dan sejarah.
Ia kemudian diteruskan Dr. Mohd Nazmi Desa menerusi perkongsian berkaitan pendidikan dan Modul 3 Kota Suci.
Dato’ Dr. Zaifuddin Md Rasip pula mengetengahkan isu dakwah dan mualaf di Sabah, manakala Al-Fadhil Ustaz Hissham Suherman (HCF) berkongsi mengenai peranan dakwah dalam membimbing golongan mualaf.
Sementara itu, Kefayatullah Hj. Malik Aman membentangkan topik “Syarif Hassan & Jaringan Kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubro”.
Perkongsian terakhir disampaikan Muhammad Riswan Illah (Acok Khan) yang mengupas tajuk “Belia dan Dakwah sebagai Medium Dakwah”.
Menurut Kefayatullah, selaku urusetia Liqa Mahabbah Sabah, penganjuran itu bertujuan mempertemukan golongan ulama, asatizah, daie, penggerak dakwah dan NGO bagi berkongsi pengetahuan serta pengalaman selain membincangkan isu berkaitan dakwah secara bersama.
Katanya, pertemuan itu juga penting bagi membina jaringan kerjasama supaya gerakan dakwah di Sabah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan tidak bergerak secara berasingan.
“Penganjuran Liqa Mahabbah ini bukan sekadar menghimpunkan penggerak dakwah, tetapi menjadi ruang untuk kita saling mengenali, berkongsi pengalaman dan melihat realiti dakwah di Sabah secara bersama.
“Kita mahu membina jaringan supaya usaha dakwah tidak bergerak secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata, tema sejarah Islam dipilih bagi siri pertama kerana penting untuk peserta memahami perkembangan Islam di Sabah, termasuk sumbangan tokoh serta jaringan ulama terdahulu.
Katanya, pemahaman terhadap sejarah berkenaan dapat menjadi asas dalam menilai dan menangani cabaran dakwah yang dihadapi pada masa kini.
Program turut diisi dengan sesi perbincangan dan rumusan yang dipengerusikan Ustaz Anuar Ali bagi mengenal pasti cadangan serta hala tuju kerjasama susulan.
Dalam perkembangan sama, Liqa Mahabbah Sabah 2.0 dijadualkan berlangsung di Kundasang pada Oktober 2026 selama satu hari dua malam.
Siri kedua itu akan memberi tumpuan kepada perbincangan lebih mendalam mengenai isu agama dan dakwah di Sabah, termasuk cadangan mewujudkan penyelarasan badan tindakan bagi memastikan hasil perbincangan dapat diterjemahkan kepada usaha yang lebih tersusun.
Penganjuran Liqa Mahabbah Sabah diharap dapat diteruskan sebagai wadah yang mengukuhkan ukhuwah, jaringan kerjasama dan usaha dakwah di Sabah berasaskan ilmu, adab serta semangat mahabbah. – DAKWAT RAKYAT POST
