KINARUT, 15 Ogos 2026 – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyatakan keterbukaan untuk membentuk Blok Borneo bersama parti-parti politik tempatan Sabah, termasuk Parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Presiden KDM, Priscella Peter berkata, kerjasama antara parti tempatan itu penting bagi memastikan suara serta kepentingan generasi akan datang terus dibawa dan diperjuangkan demi masa depan Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan KDM masih belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan pembentukan blok berkenaan kerana perkara itu memerlukan perbincangan lanjut bersama parti-parti tempatan yang terbabit.
“Warisan mungkin, ya. STAR, ya. Tetapi kami belum membuat keputusan terakhir kerana kami memerlukan perjumpaan. Bukan sekadar membuat keputusan dengan menyatakannya begitu sahaja, tetapi mungkin kami mahu parti tempatan. Keputusan akhir masih belum diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hala Tuju Parti KDM Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di Beringgis Resort, di sini.
Priscella berkata, sebarang usaha untuk membentuk Blok Borneo perlu mengambil kira pandangan serta pendirian kepimpinan parti dan bukan dibuat secara bersendirian.
Menurutnya, keputusan berhubung kerjasama tersebut perlu melalui proses perbincangan terlebih dahulu sebelum sebarang pendirian rasmi dapat diumumkan.
Beliau menegaskan cadangan berkenaan bukan keputusan peribadi mana-mana individu dalam parti, sebaliknya perlu diputuskan secara bersama oleh kepimpinan KDM.
Katanya, KDM akan terus melihat semua kemungkinan kerjasama dengan parti-parti tempatan yang mempunyai matlamat untuk memperjuangkan kepentingan dan masa depan Sabah.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang pembentukan kerjasama politik perlu mempunyai hala tuju yang jelas supaya kepentingan rakyat Sabah dan generasi akan datang dapat terus diberi keutamaan.
KDM dijangka meneruskan perbincangan dengan parti-parti tempatan sebelum membuat keputusan rasmi mengenai cadangan pembentukan Blok Borneo itu. – DAKWAT RAKYAT POST
