KENINGAU, 17 Ogos 2026 – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan hampir RM1 bilion tahun ini bagi memperkasa sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan yang menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, potensi ekonomi di setiap daerah perlu dikenal pasti dan dimanfaatkan secara terancang bagi mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mahu setiap Pegawai Daerah mengambil perhatian terhadap kekuatan ekonomi di kawasan masing-masing, sama ada dalam bidang pertanian, pelancongan, sumber marin, industri mahupun perdagangan.
“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian, ada yang mempunyai potensi pelancongan, sumber marin, industri dan perdagangan. Potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang.
“Tugas kita ialah memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-29 di Hotel Perkasa, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, Ekonomi Biru turut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, khususnya di kawasan luar bandar yang mempunyai sumber marin, biodiversiti serta kawasan pesisir yang luas.
Katanya, sumber berkenaan perlu dibangunkan secara bertanggungjawab bagi membuka ruang kepada aktiviti ekonomi baharu dan meningkatkan taraf pendapatan masyarakat setempat.
“Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi tersebut dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyediakan siling peruntukan pembangunan berjumlah RM12.02 bilion bagi tahun ini melibatkan 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata jumlah berkenaan merupakan siling peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah, dengan 241 projek adalah projek sambungan manakala 932 lagi merupakan projek baharu.
Katanya, peningkatan peruntukan pembangunan perlu disusuli tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan setiap projek dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.
Hajiji turut menggesa semua Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil supaya memberi perhatian serius terhadap kemajuan projek serta program di kawasan masing-masing.
Katanya, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan supaya sebarang masalah dapat dikesan lebih awal, manakala kelewatan projek perlu dikenal pasti puncanya sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata ukuran kejayaan pembangunan tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah projek yang diluluskan atau berjaya disiapkan, sebaliknya perlu melihat kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Kita perlu melihat kepada impak untuk rakyat. Adakah masalah rakyat telah diselesaikan, kemudahan mereka bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan adakah kualiti hidup rakyat meningkat? Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya.
Hajiji berkata pembangunan kawasan luar bandar akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri, terutama dalam penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Selain itu, katanya, aspek perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan serta pembangunan ekonomi masyarakat turut menjadi keutamaan dalam usaha mengecilkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pengukuhan pendigitalan dalam sistem penyampaian kerajaan.
Beliau turut memuji Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah atas pembangunan Aplikasi Online Rumah Mesra Sabah Maju Jaya yang disifatkan sebagai langkah penting bagi mempercepatkan, meningkatkan ketelusan dan memudahkan urusan rakyat.
Hajiji berharap aplikasi berkenaan terus dipertingkatkan termasuk dengan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang boleh membantu rakyat memperoleh maklumat dengan lebih mudah serta melancarkan proses permohonan dan semakan.
Pada masa sama, beliau mahu budaya kerja dalam pentadbiran daerah terus diperkukuh dengan memberi penekanan kepada perkhidmatan yang pantas, keputusan tepat dan tatakelola yang baik.
Katanya, setiap tindakan yang dilaksanakan jentera kerajaan perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
“Kita tidak boleh setiap kali berlaku perubahan, perancangan pembangunan turut berubah. Rakyat memerlukan kesinambungan manakala pelabur memerlukan keyakinan dan jentera kerajaan memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya.
Beliau berkata kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya dinilai berdasarkan dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan, tetapi berdasarkan perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.
“Apabila jalan menjadi lebih baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya.
Hajiji turut menyeru seluruh jentera pentadbiran daerah untuk bersama-sama memperkukuh pengurusan serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Jadikan Pejabat Daerah sebagai institusi yang cekap, responsif, berintegriti dan dekat dengan rakyat.
“Dengan komitmen seluruh jentera kerajaan, saya yakin kita mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negeri dan menjayakan Sabah Maju Jaya 2.0 demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
