KOTA KINABALU, 17 Ogos 2026 – Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan pendekatan Parti Warisan yang didakwa sering mengambil kesempatan daripada isu semasa sebagai amalan politik “Pok Silap” atau oportunis demi meraih keuntungan politik.
Menurut beliau, perkembangan siber dan gerak kerja penerangan Warisan sejak kebelakangan ini dilihat cuba membentuk naratif serta persepsi negatif terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Perpaduan-Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, istilah “Pok Silap” begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Sabah dan menggambarkan sikap individu yang sentiasa menunggu peluang serta mengharapkan keuntungan daripada sesuatu kejadian semasa.
“Dalam peribahasa Melayu lama, kelakuan seperti ini disebut sebagai menangguk di air yang keruh,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Aksyah mendakwa isu utiliti domestik dibesar-besarkan oleh media dan penyokong Warisan untuk membentuk persepsi bahawa kerajaan GRS ketika ini gagal sepenuhnya, sedangkan perkembangan ekonomi makro serta pembangunan infrastruktur negeri menurutnya menunjukkan gambaran yang berbeza.
Beliau berkata, kemajuan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah semakin ketara selepas baki Surat Setuju Terima (SST) bagi Fasa 1B diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor pada Oktober 2024.
“Sehingga Julai 2026, purata kemajuan fizikal keseluruhan pakej kerja aktif Fasa 1B telah melepasi antara 35 hingga 40 peratus dalam tempoh kurang dua tahun.
“Pada masa sama, baki pakej Fasa 1A pula sudah mencapai tahap siap melebihi 90 peratus di beberapa sektor utama,” katanya.
Menyentuh isu bekalan air, Aksyah berkata kerajaan negeri bukan sekadar memberikan janji, sebaliknya sedang melaksanakan 20 projek loji rawatan air (LRA) utama secara serentak di seluruh Sabah.
Katanya, enam LRA berskala sederhana dan besar dijangka dapat disiapkan tahun ini, sebelum keseluruhannya mula beroperasi secara komersial sepenuhnya pada awal 2027.
“Pelaksanaan projek itu dijangka meningkatkan kapasiti bekalan air bersih sehingga jutaan liter sehari.
“Ini belum termasuk Projek Hidro Ulu Padas yang dijangka siap dan mula beroperasi pada 2027 dengan kapasiti membekalkan sehingga 100 juta liter air sehari,” katanya.
Dalam isu Sabah Development Bank (SDBank), Aksyah turut mempersoalkan dakwaan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan pemberian pinjaman kepada syarikat dari Semenanjung.
Beliau mengaitkan perkara itu dengan kelulusan pinjaman RM300 juta kepada AirAsia ketika pentadbiran Warisan pada 2020.
Aksyah turut membandingkan prestasi ekonomi Sabah ketika pentadbiran Warisan dengan GRS, dengan mendakwa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri susut 9.2 peratus pada 2020 sebelum kembali merekodkan pertumbuhan positif masing-masing 1.1 peratus pada 2021 dan 3.7 peratus pada 2022 di bawah pentadbiran Hajiji.
“Bermula 2020 sehingga hari ini pada 2026, hasil pendapatan dan rizab kewangan kerajaan negeri Sabah sentiasa meningkat setiap tahun sehingga menghampiri angka RM9 bilion,” katanya.
Beliau turut mendakwa Warisan mengambil alih pentadbiran Sabah ketika rizab negeri berada pada sekitar RM4 bilion, namun meninggalkan rizab kira-kira RM3 bilion.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pihak yang sebenarnya lebih berkesan dalam mengurus tadbir negeri.
Menurut Aksyah, Hajiji pula terus konsisten melaksanakan agenda pembangunan menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang merangkumi perjuangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik.
Mengulas pembentukan gabungan Warisan, STAR dan KDM yang dilabel sebagai “Blok Borneo”, beliau mendakwa Warisan cuba mendapatkan sokongan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus dengan menjadikan STAR serta KDM sebagai “kuda tunggangan politik”.
Katanya, langkah itu didakwa bertujuan membolehkan Warisan memainkan peranan sebagai “king maker” dalam pembentukan kerajaan.
“Pengakhiran yang mereka harapkan, mereka berhajat menjadi king maker agar kedudukan ini digunakan untuk memeras sesiapa sahaja yang ingin membentuk Kerajaan Pusat.
“Jika mahu sokongan mereka, tukar Kerajaan Negeri Sabah. Inilah saya namakan ‘Pok Silap’,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah turut mempersoalkan kritikan Warisan terhadap kehadiran Hajiji bersama kepimpinan Sabah pada Konvensyen PKR.
Beliau berkata, kehadiran Shafie dalam program UMNO pula sebelum ini disifatkan sebagai politik matang oleh pihak berkenaan.
“Apabila Shafie menghadiri program UMNO, itu mereka katakan politik matang. Betapa munafiknya mereka! Memang Pok Silap!” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
