TAWAU, 17 Ogos 2026 – Warga Indonesia yang berada di Sabah dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang menawarkan khidmat mendapatkan kad atau dokumen berkaitan kerajaan negeri, termasuk MyKAS.
Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin berkata, orang ramai khususnya warga Indonesia perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menerima sebarang tawaran berkaitan dokumen berkenaan.
Menurutnya, pihak konsulat telah menerima maklumat mengenai kewujudan pihak tertentu yang dipercayai mempromosikan perkhidmatan mendapatkan kad berkenaan kepada masyarakat di Tawau, termasuk warga Indonesia.
“Kami mendapat maklumat mengenai adanya usaha pihak tidak bertanggungjawab yang disebarkan kepada orang ramai di Tawau termasuk warga Indonesia.
“Saya mengimbau warga Indonesia supaya berhati-hati dalam mendapatkan apa juga kad atau dokumen yang menjadi hak dan bidang kuasa kerajaan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-81 yang berlangsung di Wisma Konsulat Indonesia di Tawau, hari ini.
Dino berkata, warga Indonesia juga perlu memastikan kesahihan setiap tawaran dengan membuat semakan silang bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Apa saja yang diberikan pihak lain, lakukan ‘cross check’, semak dan periksa semula bagi memastikan tiada unsur pihak tidak bertanggungjawab menawarkan MyKAS atau apa juga kad yang dikeluarkan kerajaan Sabah.
“Jangan mudah percaya hanya kerana ada pihak mendakwa mereka boleh membantu mendapatkan dokumen tertentu,” katanya.
Beliau berkata, langkah berwaspada amat penting bagi mengelakkan warga Indonesia menyerahkan wang atau dokumen peribadi kepada individu yang tidak mempunyai kuasa atau kelayakan untuk menguruskan permohonan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Dino turut menyeru warga Indonesia yang menetap di Sabah supaya sentiasa menghormati adat resam serta masyarakat tempatan, selain mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.
Katanya, warga Indonesia juga perlu bersama-sama memelihara keharmonian masyarakat dan menggunakan media sosial secara bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran perkara yang boleh menimbulkan perpecahan.
“Saya mengimbau warga Indonesia di Sabah, khususnya dalam wilayah kerja Konsulat Tawau supaya menghormati adat istiadat Sabah, masyarakat setempat dan undang-undang di sini.
“Gunakan media sosial dengan baik untuk menjadi pemersatu kita, bukan menjadi pemecah belah,” katanya.
Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-81 di Wisma Konsulat Indonesia di Tawau turut disertai warga Indonesia yang terdiri daripada kakitangan konsulat, pekerja dan pelajar Community Learning Center (CLC).
Acara sambutan dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sebelum diteruskan dengan pelbagai kegiatan kemasyarakatan bagi meraikan hari bersejarah itu bersama komuniti Indonesia di Tawau.
Program berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga Indonesia yang berada di Sabah, khususnya di kawasan Tawau. – DAKWAT RAKYAT POST
