SEMPORNA, 17 Ogos 2026 – Lokasi transit sampah di daerah ini dijangka dipindahkan ke tapak baharu selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini sebagai sebahagian usaha memperbaiki pengurusan kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Mad Zafar Mad Zahala berkata, perkara itu dimaklumkan Majlis Daerah Semporna (MDS) ketika pihaknya mendapatkan penjelasan berhubung isu pengurusan sampah yang menjadi perhatian penduduk dan pemain industri pelancongan.
Menurutnya, langkah memindahkan lokasi transit berkenaan merupakan perkembangan yang baik, namun ia perlu disertai penambahan keupayaan operasi supaya masalah kebersihan di Semporna dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“PUSPABUMI difahamkan lokasi transit sampah akan dipindahkan ke lokasi baharu selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Kita melihat langkah ini positif sekiranya ia dapat membantu memperkemas sistem pengumpulan, pengangkutan dan pengurusan sampah di Semporna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mad Zafar berkata, MDS ketika ini turut berdepan beberapa kekangan operasi, terutama membabitkan logistik dan keupayaan kutipan sisa pepejal.
Katanya, sebahagian kenderaan serta lori pengangkut sampah dilaporkan memerlukan pembaikan, sekali gus memberi kesan kepada kelancaran operasi kutipan dan pelupusan.
Menurutnya, keadaan itu lebih dirasai di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta lokasi yang menjadi tumpuan pelancong.
“Pemindahan lokasi transit sahaja tidak memadai sekiranya tidak disokong peningkatan kapasiti logistik, kenderaan kutipan dan penyelenggaraan yang lebih baik.
“Semporna mempunyai kawasan pesisir dan tumpuan pelancong yang memerlukan sistem pengurusan sisa lebih cekap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan isu kebersihan di Semporna tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada MDS kerana ia membabitkan peranan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, kementerian, agensi berkaitan, pemain industri serta komuniti setempat.
Mad Zafar berkata, sokongan dan campur tangan kerajaan pada peringkat lebih tinggi diperlukan bagi memperkukuh keupayaan pihak berkuasa tempatan (PBT), antaranya melalui penambahan atau penggantian kenderaan kutipan, penyediaan kemudahan pengurusan sisa serta peningkatan kapasiti operasi.
“Semporna membawa nama Sabah dan Malaysia dalam pasaran pelancongan antarabangsa.
“Tidak adil untuk kita meletakkan harapan tinggi kepada PBT sekiranya mereka beroperasi dengan sumber dan kemudahan yang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru semua pihak dalam sektor pelancongan termasuk pengusaha resort dan bot, peniaga serta masyarakat setempat supaya bersama-sama memastikan kebersihan kawasan sentiasa diberi keutamaan.
Katanya, pelancong juga perlu memainkan peranan dengan menjaga kebersihan sepanjang berada di Semporna.
Menurutnya, pendidikan sivik dan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang membuang sampah sewenang-wenangnya perlu bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan pembuangan sampah dan perkhidmatan kutipan yang berjadual serta konsisten.
“Semporna mempunyai aset pelancongan bertaraf dunia, jadi pengurusan destinasi juga perlu mencapai standard yang sepadan dengan keindahan serta nilai aset itu,” katanya.
Usaha memperkemas pengurusan sisa pepejal itu dilihat penting bagi memastikan imej Semporna sebagai antara destinasi pelancongan utama Sabah terus terpelihara, selain memberi manfaat kepada penduduk dan pengunjung. – DAKWAT RAKYAT POST
