KOTA KINABALU: Seramai 64 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam operasi penguatkuasaan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Operasi berkenaan membabitkan Ops Selera di Kota Kinabalu, Ops Bersama dan Ops Kutip di Sandakan serta Ops Kutip dan Ops Belanja di Tawau.
Di Kota Kinabalu, seramai 38 individu diperiksa menerusi Ops Selera, dengan tujuh warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah dan melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan membabitkan enam warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa, selain seorang lelaki dewasa warga Pakistan.
Sementara itu, di Sandakan, sebanyak 145 individu diperiksa menerusi Ops Bersama dan Ops Kutip, dengan 28 warga asing ditahan.
Daripada jumlah itu, 21 merupakan warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa.
Turut ditahan ialah tujuh warga asing lain, membabitkan seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia serta tiga lelaki dewasa warga India.
Di Tawau pula, seramai 66 individu diperiksa menerusi Ops Kutip dan Ops Belanja, dengan 29 warga asing ditahan.
Tangkapan membabitkan lima warga Filipina, terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Manakala 24 warga Indonesia yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan bagi mengesan, menahan dan mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin serta mereka yang menyalahgunakan kemudahan pas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus dipelihara.
JIM Sabah turut menegaskan komitmen untuk mempergiat operasi bagi membanteras kehadiran PATI dan membendung sebarang bentuk pelanggaran peraturan imigresen di negeri ini. – DAKWAT RAKYAT POST
