KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Asraf Sharafi Mohammad Azhar, mendakwa hampir dua bulan tidak dapat bertemu keluarganya di Sabah selepas disekat pihak berkuasa, Jabatan Imigresen daripada masuk ke negeri itu.
Asraf Sharati berkata, sekatan itu berlaku pada 1 Julai lalu, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 7 malam, sebelum dihantar pulang semula ke Kuala Lumpur.
Beliau sudah bertemu sendiri beberapa menteri di Parlimen bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebab sekatan, namun tidak mendapat jawapan yang jelas.
Malah, dia juga turut mengemukakan surat permohonan kepada Ketua Menteri Sabah serta JIM Sabah atas nasihat rakan-rakan dan individu yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa.
“Hampir dua bulan aku disekat masuk ke Sabah.
“Aku pun tak sangka, flight aku ke Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu bakal jadi flight aku terakhir untuk aku jumpa anak-anak dan isteri di Sabah. Kini dah hampir 3 bulan aku tak jumpa keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook.
Katanya, ada pihak yang menyarankan supaya merayu bagi membolehkan dia kembali ke Sabah.
“Ada yang kata kenapa tak fikir anak isteri dulu sebelum nak beraktivisme. Yang kata ini dulu pernah melaungkan slogan Muluk untuk keadilan, mempertahankan rakyat. Namun sebenarnya melacurkan diri untuk sampai ke kerusi empuk kekuasaan saja,” katanya.
Tindakan itu dipercayai berlaku beberapa jam selepas Asraf bersama beberapa aktivis berarak ke bangunan Parlimen Malaysia, bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Asraf menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penindasan terhadap dirinya dan keluarga, selain mendakwa pihak berkuasa sendiri tidak menjelaskan kesalahan yang didakwa dilakukannya.
“Aku dan keluarga yang dizalimi, aku disekat, tetapi aku pula yang diperbuat seperti aku bersalah. Walhal mereka sendiri pun tak boleh nak beritahu apa kesalahan yang aku buat sampai aku disekat,” katanya.
Dia turut menyifatkan keadaan itu sebagai kegagalan dalam pentadbiran, khususnya apabila kuasa digunakan tanpa kejujuran untuk menekan rakyat yang bersuara.
“Kalau beginilah kekuasaan, maka ini adalah kecelakaan. Kuasa paling celaka adalah kuasa tanpa ada sebarang kejujuran dan akauntabiliti. Kuasa paling celaka adalah kuasa yang diguna untuk menindas. Ada kuasa namun menghenyak rakyat yang bersuara.
“Yang berkuasa, satu hari kamu akan jatuh juga. Di dunia dengan waktu yang singkat, mungkin kamu akan lepas. Namun Tuhan tidak tidur dan lupa. Aku tak akan ampunkan kezaliman ini sehingga kamu cium kaki anak-anak dan isteri aku,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 17.8.2026
