KUCHING: Kualiti udara di Sarawak semakin merosot apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian mencecah 242, iaitu pada tahap sangat tidak sihat, setakat jam 6 pagi hari ini.
Data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan lapan kawasan lain di Sarawak turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Ia membabitkan Sri Aman (189), Kuching (188), Samarahan (180), Sarikei (172), Sibu (156), Bintulu (153), Samalaju (36) dan Kapit (107).
Bacaan di Serian yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia itu turut menunjukkan peningkatan berbanding hari sebelumnya.
Berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk, sebanyak 591 sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak ditutup hari ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan semalam memaklumkan, penutupan itu membabitkan 509 sekolah rendah dengan keseluruhan 107,590 murid dan 82 sekolah menengah melibatkan 89,733 pelajar.
Sekolah berkenaan adalah di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan, pemantauan rapi terhadap perkembangan cuaca, kualiti udara, titik panas, risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta status sumber bekalan air negeri terus dilaksanakan bersama agensi berkaitan.
Kredit sumber: Berita Harian
