KUALA LUMPUR: “Bagaimana jika masuk penjara seumur hidup menjadi pelan persaraan seseorang?
“Soalan sedemikian mungkin kedengaran santai dan kelakar, tetapi satu perkongsian di media sosial mencetuskan perbincangan menarik mengenai kehidupan dan kemahiran yang dipelajari banduan di penjara.
Ia turut membuka minda masyarakat mengenai kaedah dan proses pemulihan berkesan yang dilakukan Jabatan Penjara Malaysia kepada banduan-banduan yang menjalani hukuman, khususnya dalam pembelajaran seni songket.
Kisah masyarakat yang jarang diketahui ini diceritakan oleh seorang pengguna Threads yang berkongsi pengalamannya ketika menyertai lawatan ke sebuah penjara dan mendakwa ada banduan yang pernah keluar masuk penjara hanya kerana mahu mempelajari seni penghasilan songket.
Menurut @scarletrubii, banduan berkenaan sudah dibebaskan tetapi dikatakan masuk kembali penjara hanya untuk mendalami kemahiran tradisi itu.
“Saya pernah melawat penjara dan ada banduan ini mengulangi masuk penjara dua kali sebab mahu belajar buat songket. Pegawai mendedahkan, si banduan itu baru je bebas tetapi masuk semula (penjara) sebab nak master buat songket dua wajah.
“Teknik dan skil itu cuma ada di penjara dan tak ramai yang mampu menghasilkannya. Semua songket cantik-cantik dan saya sampai terpegun melihatnya,” katanya.
Komen yang dilontarkan pengguna meraih pandangan yang positif daripada ramai individu termasuklah yang berseloroh untuk masuk penjara hanya untuk belajar seni tradisi kebangsaan Malaysia itu.
“You just gave me an intrusive thought utk masuk penjara n belajar buat songket,” kata @hungwylina.
“Saya harap threads ni tak lalu dekat ibu saya. Dia dah lah suka belajar. But on serious note, macam mana dia boleh masuk penjara yang sama? Curios betul lah,” kata @illbeereading.
“What a weird and creative way to learn songket. Good sharing! Thank you,” kata @sarahkhalip.
“Dia macam masuk uni sambung belajar,” kata @pqaa_amr.
Penghasilan songket melalui program pemulihan dan kemahiran Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada banduan mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan selepas dibebaskan.
Banduan diberi latihan kemahiran dalam bidang kraftangan, termasuk tenunan, sebagai sebahagian daripada program pemulihan dan persediaan untuk kembali ke masyarakat.
Penghasilan songket memberi peluang kepada banduan mempelajari kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan selepas dibebaskan.
Kredit sumber: Berita Harian
