TAWAU, 24 Ogos 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok disyaki tidak bercukai dalam serbuan di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 2.20 pagi itu dilakukan selepas pasukan menerima maklumat risikan dan menjalankan pemantauan terhadap kegiatan mencurigakan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyeludupan rokok dari negara jiran.
Hasil serbuan, anggota PPM menemukan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan sebagai pengangkutan untuk membawa barangan seludup.
Pemeriksaan terhadap kedua-dua bot berkenaan kemudian menemukan sejumlah kotak mengandungi rokok yang disyaki tidak bercukai.
Antara barangan yang dirampas ialah 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 serta 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia yang dianggarkan bernilai RM86,400.
Turut disita ialah dua bot fiber bersama dua enjin bot Yamaha berkuasa 200 kuasa kuda (HP).
Keseluruhan nilai rampasan dalam operasi berkenaan dianggarkan berjumlah RM601,400.
Bagaimanapun, individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik serbuan dijalankan.
Usaha mengesan suspek tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berkaitan, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan sebanyak 55 kes di bawah Akta Kastam 1967 bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Sepanjang tempoh berkenaan, nilai keseluruhan rampasan mencecah RM7,337,542.61, manakala seramai 39 individu telah ditahan.
Pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan, terutama di kawasan perairan serta laluan sempadan di Pantai Timur Sabah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, berkata pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan kegiatan penyeludupan.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang cuba melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas dan berterusan akan dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
