KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan sirah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam membangunkan pentadbiran Madinah sebagai pedoman untuk terus melaksanakan usaha pembaharuan dan islah di Malaysia.
Anwar berkata, selepas lebih sedekad melalui usaha pembaikan dan pembentukan masyarakat, Nabi Muhammad SAW berjaya membangunkan Madinah berasaskan tatanan yang adil dan penuh ihsan sehingga melahirkan masyarakat yang mempunyai akal budi serta akhlak yang tinggi.
Menurut beliau, pendekatan berteraskan syariah turut membawa perubahan terhadap pemikiran dan keperibadian masyarakat melalui penghayatan terhadap kesedaran ketuhanan serta kematangan sosial.
Beliau berkata, perseteruan antara kaum Aus dan Khazraj yang sekian lama menggugat keamanan Yathrib akhirnya dapat dirungkai menerusi semangat perpaduan Ansar.
“Pertembungan tajam Aus dan Khazraj yang sekian lama menggoncang Yathrib dilebur dalam semangat perpaduan Ansar demi kestabilan, menghapus curiga dan kegelisahan kaum yang menghambat kemajuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut mengingatkan bahawa keperluan asas rakyat dan jaminan keselamatan merupakan perkara penting dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Quraisy, ayat 4 yang bermaksud: “Dia yang memberi makanan bagi menghilangkan kelaparan, dan mengamankan mereka dari rasa ketakutan.”
Katanya, jaminan terhadap keperluan asas serta keamanan merupakan antara syarat penting bagi memastikan daruriyat dalam Maqasid Syariah dapat dipelihara, seperti yang dihuraikan oleh sarjana Muhammad Imarah.
Mengulas pentadbiran di Madinah, Perdana Menteri berkata masyarakat yang lemah dan miskin diberikan perhatian, manakala golongan yang berbeza turut diberikan ruang dalam kehidupan bermasyarakat.
Pada masa sama, katanya, amalan monopoli diketepikan bagi mewujudkan pengagihan ekonomi yang lebih adil, selain usaha membina hubungan dengan pihak luar melalui penghantaran utusan bagi membawa mesej keamanan dan keadilan.
Anwar berkata, pendekatan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW itu masih relevan untuk dijadikan rujukan dalam usaha membangunkan sebuah negara majmuk pada masa kini.
“Tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 ini dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya.
“Namun kita akan terus berusaha, selagi kudrat dan masa masih tersisa, bagi melakukan perubahan dan islah menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, setiap pemimpin sememangnya menginginkan kehidupan yang terbaik untuk seluruh rakyat dan berharap usaha yang dilakukan dapat membawa manfaat kepada negara.
Anwar turut memohon agar Allah SWT terus memberkati Malaysia serta mengurniakan rahmat dan rezeki yang berkat kepada seluruh rakyat. – DAKWAT RAKYAT POST
