KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengumumkan pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) bagi menyelaras kepimpinan parti mengikut 25 kawasan Parlimen di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan berkenaan diumumkan semalam menerusi Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti, selaras dengan penstrukturan bahagian berdasarkan kawasan Parlimen di negeri ini.
Menurut beliau, barisan kepimpinan yang dilantik menggabungkan pengalaman pemimpin sedia ada, tenaga muda serta muka baharu bagi memperkukuh gerak kerja parti di setiap bahagian.
Katanya, penyusunan itu turut bertujuan memastikan suara serta aspirasi rakyat dapat terus dibawa dan disampaikan hingga ke peringkat akar umbi.
“Saya mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada semua Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik.
“Saya berharap saudara dan saudari dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, sentiasa mendekati rakyat serta memperkukuhkan perpaduan dan gerak kerja parti di setiap bahagian,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Hajiji berkata, dengan barisan kepimpinan yang kini semakin tersusun dan diperkasa, Gagasan Rakyat akan terus bergerak sebagai sebuah pasukan yang kukuh serta bersatu.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan parti terus memberikan tumpuan kepada kestabilan politik, kemajuan negeri dan kepentingan masa depan rakyat Sabah.
Penstrukturan mengikut 25 kawasan Parlimen itu dilihat sebagai langkah memperkemas organisasi parti, selain memperkukuhkan penyelarasan gerak kerja di setiap kawasan di seluruh Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
