KOTA KINABALU, 30 Ogos 2026 – Tiga kanak-kanak ditemui rentung selepas kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 rumah setinggan atas air di Numbak, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa ketiga ditemukan pada jam 7.46 pagi, tidak jauh dari lokasi dua mangsa pertama yang masing-masing ditemukan pada jam 6.40 pagi dan 7.20 pagi ketika pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman.
Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai adik-beradik, Mohd Hasrul Abd, 4, dan Ana Abd, 6, serta sepupu mereka, Norfadilah Mohd Thajia, 8.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.54 pagi.
Kebakaran membabitkan penempatan rumah atas air jenis tidak kekal di Kampung Lok Buta, Numbak, dengan anggaran awal kira-kira 202 rumah terjejas.
Kawasan yang terbakar dianggarkan berkeluasan 260 x 380 kaki persegi.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran digerakkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran.
Menurut JBPM, kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran pada jam 4.30 pagi, manakala kerja pemadaman dan overhaul diteruskan.
Operasi menggunakan teknik pemadaman ofensif dengan Sektor A sepanjang kira-kira 1,000 kaki dan membabitkan dua pancutan air.
Pasukan bomba turut menggunakan pam dengan sumber air terbuka bagi membantu memadam kebakaran.
Dalam usaha mewujudkan fire break bagi menghalang api daripada merebak, empat rumah terpaksa diruntuhkan.
Seramai 55 anggota JBPM terbabit dalam operasi berkenaan membabitkan empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua water tanker, tiga Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM), sebuah kenderaan Fortuner Ibu Pejabat (HQ) dan sebuah kenderaan utiliti Zon Kota Kinabalu.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
Sehingga kini, jumlah sebenar rumah yang musnah serta keadaan keseluruhan kawasan terjejas masih dalam proses pengesahan pihak berkuasa.
Punca kebakaran juga masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut akan dijalankan. – DAKWAT RAKYAT POST
