KUCHING: Seramai 21 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Tapis Khas Kontinjen Sarawak yang dijalankan di sekitar Kuching dari 25 hingga 27 Ogos lalu.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah terlibat dalam menjayakan Ops Tapis khas berkenaan yang bertujuan mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata daripada jumlah tersebut, seorang individu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Seorang lagi katanya ditahan di bawah Seksyen 39A(2), seorang lagi di bawah Seksyen 39A(1) manakala dua individu ditahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.
“Seramai 16 orang pula ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 6.57 gram dadah disyaki methamphetamine, 3,413 gram ganja serta 55 mililiter cecair dadah disyaki ganja.
Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM20,850, tambahnya.
Menurut Alexson kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
