PETALING JAYA: Kenaikan kuota subsidi diesel kepada 400 liter sebulan menunjukkan pentingnya pemimpin Sabah dan Sarawak terus membawa isu rakyat di peringkat akar umbi kepada perhatian kerajaan pusat, kata seorang penganalisis.
Arvin Tajari dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata pemimpin seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud mempunyai peranan penting memastikan kepentingan penduduk dua negeri itu didengar, terutama dalam isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Beliau berkata isu subsidi petrol dan diesel antara perkara yang perlu diberi perhatian kerana corak perjalanan serta kebergantungan terhadap kenderaan persendirian di Sabah dan Sarawak, khususnya kawasan pedalaman, berbeza berbanding kawasan lain.
“Sebagai menteri yang menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak, Mustapha dilihat menjalankan peranan penting bagi memastikan kepentingan dua negeri ini disuarakan, termasuk isu subsidi RON95 dan diesel.
“Isu subsidi bahan api ini penting bagi kedua-dua negeri, terutama Sabah, dan menteri dilihat mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi,” katanya kepada FMT.
Arvin berkata keputusan menaikkan kuota diesel juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pengguna yang sebelum ini berdepan kekangan susulan had subsidi diperuntukkan.
Katanya, kesannya lebih dirasai penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk perjalanan harian serta perlu menempuh jarak lebih jauh.
“Sudah pasti ia akan membawa sedikit perubahan. Beban rakyat sebelum ini secara perlahan dapat diimbangi apabila kuota subsidi petrol dan diesel ditambah.
“Ia dapat mengurangkan beban rakyat terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang sememangnya memerlukan peruntukan subsidi lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kuota subsidi RON95 dinaikkan semula kepada 300 liter sebulan, manakala kuota bagi kenderaan diesel pikap dan jip yang layak ditingkatkan kepada 400 liter.
Sebelum pengumuman itu, pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak menyuarakan kebimbangan mengenai kuota diesel yang dianggap tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan perjalanan mereka.
Susulan rungutan berkenaan, beberapa sesi libat urus diadakan bagi mendapatkan maklum balas pengguna, termasuk menerusi Mustapha yang sebelum ini berkata suara rakyat akan dibawa dalam usaha menambah baik mekanisme penyasaran subsidi bahan api.
Mengulas peranan pemimpin Sabah dan Sarawak selepas ini, Arvin berkata wakil rakyat dari kedua-dua negeri perlu terus menggunakan kedudukan mereka di peringkat Persekutuan untuk mengetengahkan isu kebajikan yang mungkin memerlukan penyelesaian berbeza daripada Semenanjung.
Katanya, komitmen dan keberanian mereka membawa isu rakyat dapat meningkatkan keyakinan bahawa suara Sabah dan Sarawak didengar ketika kerajaan pusat merangka atau menambah baik sesuatu dasar.
“Peranan besar perlu dimainkan pemimpin politik Sabah dan Sarawak di peringkat Parlimen bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjaga dan terjamin.
“Komitmen pemimpin dalam isu kebajikan serta keberanian mereka membawa suara rakyat akan memberikan keyakinan bahawa kepentingan Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian kerajaan pusat,” katanya.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berpandangan pelarasan kuota bahan api itu membawa penanda aras postif bahawa kesatuan suara pemimpin tempatan di Malaysia Timur mampu membentuk isyarat untuk membina dasar persekutuan secara konkrit.
“Pada masa depan, model perundingan berasaskan data dan libat urus inklusif dikekalkan untuk membuka ruang lebih luas kepada pemimpin tempatan memperjuangkan isu lain seperti pembangunan infrastruktur dan autonomi ekonomi.
“Namun, mereka perlu proaktif dan kritis dalam menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan pembuat dasar di Putrajaya sentiasa peka terhdap aspirasi rakyat Borneo khususnya pembangunan serta peluang pekerjaan,” katanya.
Kredit sumber: Free Malaysia Today
