Screenshot
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Pusat Hiburan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sekitar daerah ini.
Dalam operasi berkenaan, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah premis hiburan membabitkan seramai 12 pengunjung yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang lelaki positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis memaklumkan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan pusat hiburan di daerah Penampang mematuhi undang-undang.
