TUARAN, 31 Ogos 2026 – Projek Lebuhraya Pan Borneo Serusup-Pinturu (WP09) sepanjang 20.8 kilometer di daerah ini kini berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran di Facebook beliau selepas meninjau perkembangan projek berkenaan kelmarin.
Menurut Hajiji, projek bernilai RM465 juta itu merupakan antara usaha penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan dan kemudahan infrastruktur di kawasan Tuaran.
Katanya, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah dijangka membantu menyokong perkembangan aktiviti ekonomi setempat.
Dalam hantaran sama, Hajiji turut memaklumkan pembinaan jambatan sepanjang 682 meter yang merentasi Sungai Sulaman dijangka siap pada Disember tahun depan.
Sementara itu, keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo Serusup-Pinturu dijadualkan siap pada Julai 2028.
Hajiji berkata, pelaksanaan projek itu perlu terus dipantau dan diselaraskan dengan baik bagi memastikan kerja pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Beliau berharap apabila siap dan mula beroperasi kelak, projek berkenaan dapat memberikan manfaat kepada rakyat, selain memperkukuh kemudahan perhubungan serta menyokong aktiviti ekonomi di kawasan sekitar Tuaran. – DAKWAT RAKYAT POST
