KUALA LUMPUR: Suspek curi kabel yang memiliki 37 rekod jenayah berjaya ditahan selepas pikap dinaikinya terbabas dan merempuh kenderaan lain ketika dikejar anggota polis selama kira-kira 30 minit di sekitar Sungai Besi di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata Peronda Lebuhraya Bukit Aman mengesan kenderaan jenis Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan dinaiki dua individu di Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Beliau berkata, pihak polis mengarahkan suspek supaya berhenti bagi pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju cuba melarikan diri.
“Polis mengejar suspek bermula dari Plaza Tol Awan Besar arah Klang (Barat) sehingga ke Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling, Kuala Lumpur. Ketika kejadian, beberapa das tembakan dilepaskan ke bahagian tayar kenderaan suspek.
”Selepas mengejar kira-kira 30 minit, kenderaan suspek berhenti di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi. Suspek tetap tidak memberikan kerjasama malah cuba melanggar anggota bertugas dan memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek,” ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, kenderaan suspek kemudian hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta jenis Mazda di Jalan Hang Tuah 4.
“Selepas kenderaan berhenti, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan manakala seorang lagi suspek lelaki yang juga pemandu berjaya melarikan diri.
”Pemeriksaan menemukan pelbagai barang dan alatan bagi tujuan mencuri kabel dan sejumlah kabel disyaki dicuri,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri manakala permohonan reman suspek yang ditahan akan dibuat esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan/Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987/ Seksyen 427 Kanun Keseksaan/ Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Semakan mendapati suspek yang ditahan mempunyai 37 rekod jenayah lampau malah berada dalam senarai sebagai orang dikehendaki,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerusi talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran anda.
Terdahulu beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna hijau terbabas dan dikepung oleh pihak berkuasa.
Kredit sumber: Berita Harian
