LAWAS, 31 Ogos: Seramai 28 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas digerakkan bagi membantu urusan membawa jenazah, pengusungan dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Konstabel Abdul Aziz Sulaiman sebaik jenazahnya tiba di Lawas malam tadi.
Allahyarham, 41, yang merupakan anak jati Lawas dan bertugas di Balai Polis Matu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro menghembuskan nafas terakhir di Hospital Daro pada Ahad.
IPD Lawas dalam kenyataan hari ini menyatakan, Allahyarham yang masih dalam perkhidmatan berasal dari Kampung Noor Islam, Kuala Lawas.
“Jenazah Allahyarham tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mengkalap, Lawas pada jam 7.09 malam dari Matu sebelum dibawa ke rumah keluarga di Kampung Noor Islam dengan diiringi kenderaan polis Lawas.
“Jenazah Allahyarham kemudian diuruskan untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Sari, Lawas pada jam 8.30 malam,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan urusan pengusungan dan pengebumian berjalan lancar, IPD Lawas menggerakkan seramai 28 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Urusan pengebumian dilaksanakan pada jam 9 malam, dengan anggota yang ditugaskan turut memberikan bantuan serta penghormatan terakhir kepada Allahyarham sehingga selesai.
“Bantuan yang diberikan ini merupakan manifestasi keprihatinan, kebersamaan dan solidariti warga PDRM dalam memastikan kebajikan anggota serta keluarga sentiasa diberikan perhatian, khususnya ketika berdepan kehilangan insan tersayang,” jelas kenyataan itu.
IPD Lawas turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergiannya.
Kredit sumber: TV Sarawak
