MELAKA – Dataran 1Malaysia, Klebang di sini bergema dengan sorakan lebih 70,000 pengunjung yang teruja menyaksikan aksi Panglima 10 Briged (Para), Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka, hari ini.
Khairul yang menjadi penerjun pertama membawa Jalur Gemilang berjaya mendarat dengan selamat di hadapan pentas utama sebelum menerima sorakan serta tepukan gemuruh daripada ribuan pengunjung.
Beliau antara enam penerjun 10 Briged (Para) yang mengambil bahagian dalam persembahan dengan membawa bendera Malaysia, Melaka, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat (TD) dan 10 Briged (Para).
Turut menyertai penerjunan itu ialah Srikandi Para, Pegawai Waran I Nor Hikmah Wahid yang merupakan satu-satunya penerjun wanita daripada 10 Briged (Para).
Kesemua penerjun 10 Briged (Para) berlepas menggunakan pesawat MI-17 milik Pasukan Udara Bomba Malaysia sebelum diterjunkan dari ruang udara.
Persembahan itu turut disertai penerjun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikenali sebagai Smoke Jumpers.
Selain persembahan terjun payung, acara utama yang mencuri tumpuan pengunjung adalah lintas hormat udara membabitkan pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
