PUTRAJAYA, 4 September 2026 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak susulan keadaan jerebu yang mencatat tahap pencemaran udara membahayakan kesihatan serta keselamatan orang ramai.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira nasihat beliau selaku Perdana Menteri, Premier Sarawak serta agensi-agensi berkaitan berhubung keadaan dan tahap kualiti udara di kawasan terbabit.
Katanya, pengisytiharan itu membolehkan tindakan yang lebih berkesan dilaksanakan bagi memastikan kesihatan dan kebajikan penduduk yang terjejas terus dilindungi.
“Langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus mengikuti perkembangan keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan setiap tindakan yang diperlukan dilaksanakan dengan segera.
Ini termasuk pelaksanaan langkah-langkah mitigasi selain penyampaian maklumat serta nasihat berkaitan kesihatan kepada orang ramai.
Dalam hantaran sama, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan pengisytiharan berkenaan bertarikh 4 September 2026.
Kerajaan juga akan memastikan perkembangan berkaitan kualiti udara di Bahagian Serian terus dipantau bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut keadaan semasa. – DAKWAT RAKYAT POST
