SHAH ALAM – Lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, minggu lalu.
Kesemua tertuduh iaitu K. Thivagar, 29; Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26 dan adiknya, Sheik Mauludin, 24; M. K. Puwaneswaran, 39; R. Darvin Raj, 23; S. R. Harikrisnan, 42; A. Rhubban, 37 dan Soulami Ahimsha, 46, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding itu, Thivagar dan Soulami hadir dengan kerusi roda.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama lapan individu yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama membunuh Ganesan berusia 23 tahun di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini, kira-kira pukul 1.59 petang, 25 Ogos lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon tarikh sebutan baru susulan masih menunggu laporan bedah siasat, forensik dan perubatan selain tidak mencadangkan sebarang jaminan.
Sementara itu, peguam Nur Aida Md. Zainuddin mewakili Shaik Hasanudin dan Sheik Mauludin, manakala peguam Navin Punj mewakili Thivagar.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar sebuah Perodua Alza dalam kejadian di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini.
Siasatan polis kemudiannya mendapati perebutan kawasan antara dua kumpulan dipercayai kongsi gelap menjadi punca insiden serangan dan tetakan tersebut.
Kedua-dua kumpulan terbabit dipercayai beroperasi di sekitar Shah Alam.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
