KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, menahan enam lelaki tempatan berhubung kes penyeludupan dadah oleh seorang pembantu juruterbang Malaysia di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, di Tangerang, Banten, Indonesia, pada 29 Julai lalu.
Semua mereka ditahan susulan maklumat hasil soal siasat dijalankan terhadap pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu oleh sepasukan pegawai JSJN yang dihantar ke Jakarta, pada 11 hingga 15 Ogos lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua ditahan berperanan sebagai pembekal dan penghantar bekalan dadah kepada juruterbang terbabit.
“Semua mereka ini berusia antara 23 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi khas yang dilaksanakan JSJN sejak 20 hingga 28 Ogos lalu.
“Berdasarkan siasatan dan risikan mendapati mereka ini memainkan peranan sebagai upline (orang atasan) dan downline (orang bawahan) dalam sindiket pengedaran dadah yang membabitkan pembantu juruterbang ini.
“Pada masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Untuk rekod, di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, pihak polis mempunyai kuasa menahan reman mana-mana suspek selama tempoh 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.
Hussein berkata, JSJN turut akan berkongsi maklumat yang diperoleh dengan pihak Polis Republik Indonesia (POLRI).
Pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.
Penahanan dibuat kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang itu mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.
Menurut polis Indonesia, juruterbang berkenaan didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel.
Kredit sumber: Berita Harian
