SEJAK masih di bangku sekolah lagi, Leftenan Kolonel Norlela Harun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pegawai Memerintah No 20 Skuadron Pangkalan Tentera Subang sudah menunjukkan minat menyertai pasukan beruniform yang kelihatan segak dan berkarisma.
Bagaimanapun, ketika itu, langsung tidak terlintas dalam fikirannya bahawa suatu hari nanti, dirinya pula akan menyarung seragam TUDM, apatah lagi mengendalikan pesawat di ruang udara.
Bermula daripada minat melihat pakaian seragam akhirnya membuktikan kemampuan wanita ini mengharungi dunia penerbangan ketenteraan yang sinonim dengan dominasi lelaki.
Pada usia 23 tahun, beliau pertama kali merasai debaran menerbangkan pesawat sebenar, sebelum pengalaman demi pengalaman ditimba.
Baginya sebaik pintu kokpit ditutup perkara pertama yang terlintas bukan lagi tentang keterujaan untuk terbang, tetapi tanggungjawab yang sedang dipikul kerana keselamatan pesawat, kru, penumpang dan kejayaan misi bergantung pada setiap keputusan yang dibuat. Selepas itu, seluruh tumpuan diberikan kepada pengendalian pesawat dan misi yang ingin dilaksanakan.
Norlela berkata, latihan penerbangan bukan sekadar mempelajari cara mengendalikan pesawat tetapi menuntut penguasaan ilmu teknikal, ketahanan mental dan fizikal, disiplin serta kemampuan membuat keputusan dengan tepat.
“Saya belajar menerima teguran, memperbaiki kelemahan dan tidak sesekali mengambil jalan mudah dalam perkara yang membabitkan keselamatan. Saya juga suka menjadikan pengalaman daripada orang lain sebagai panduan dan pengajaran kepada saya.
“Kali pertama saya menerbangkan pesawat adalah pada usia 23 tahun ketika saya menjadi pelatih penerbangan di Pusat Latihan Terbang Satu. Sebelum melaksanakan penerbangan sebenar, pelatih akan terlebih dahulu menjalani latihan simulator beberapa kali.
“Tetapi penerbangan simulator pastinya berbeza dengan penerbangan sebenar. Semua prosedur, ‘check list’ mesti dilaksanakan dengan betul. Tunjuk ajar daripada jurulatih amat penting kerana ia membabitkan aset negara yang bernilai jutaan ringgit,” katanya.
Pada awal latihan penerbangan itu, beliau turut tidak terlepas merasa gemuruh tetapi lama kelamaan perasaan itu bertukar kepada satu tanggungjawab, tugas dan amanah.
“Pembabitan wanita dalam bidang ketenteraan mahupun penerbangan bukanlah satu perkara yang baharu. Saya sendiri juga bukanlah pegawai wanita yang pertama dalam bidang ini. Saya juga banyak meminta nasihat dan pandangan daripada pegawai wanita yang lebih senior.
“Standard latihan, penilaian dan tanggungjawab operasi adalah sama. Saya memilih untuk memberikan tumpuan kepada kompetensi, disiplin, kesiagaan dan kerja berpasukan kerana dalam penerbangan, kemampuan profesional lebih penting daripada jantina,” katanya.
Ditanya sama ada pernah berdepan persepsi wanita kurang sesuai menjadi juruterbang tentera, beliau berkata, secara peribadi, beliau tidak pernah berhadapan dengan persepsi itu.
“Jika ada keraguan terhadap kemampuan saya, saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dijawab melalui perdebatan. Jawapan terbaik ialah melalui prestasi, disiplin, ketekunan dan kemampuan melaksanakan tugas dengan selamat serta profesional.
“Pada peringkat awal, keluarga saya terutamanya ibu saya agak keberatan untuk saya menyertai bidang ketenteraan. Apatah lagi saya cuma dua beradik dan kedua-duanya adalah wanita.
“Kebimbangan mereka lebih kepada risiko kerjaya, tuntutan latihan dan masa yang mungkin terpaksa berjauhan. Namun, selepas melihat kesungguhan serta komitmen saya, mereka memberikan sokongan dan dorongan yang amat besar. Doa daripada ibu, ayah dan keluargalah yang mengiringi kejayaan saya hingga ke hari ini,” katanya.
Menurutnya, beliau sendiri atau mana-mana pegawai wanita tidak sepatutnya mempunyai persepsi ‘untuk membuktikan kemampuan’ diri sebaliknya mereka perlu tahu tanggungjawab, bidang tugas dan kemudian laksanakan.
“Persepsi ini bagi saya tidak patut ada dalam pekerjaan, namun tidak dinafikan sebagai wanita dalam bidang yang didominasi lelaki, prestasi kita mungkin lebih mudah diperhatikan. Oleh itu, konsistensi, kemahiran dan sikap profesional amat penting kerana kepercayaan dibina melalui tindakan dan pencapaian, bukan berdasarkan jantina.
“Stereotaip yang paling ingin saya perbetulkan ialah anggapan bahawa wanita kurang mampu mengawal emosi atau tidak tahan menghadapi tekanan. Di dalam kokpit, keselamatan penerbangan ditentukan oleh latihan, pengetahuan, disiplin, kesedaran situasi, pertimbangan yang baik dan kerjasama dengan semua anak kapal. Semua itu bergantung pada kompetensi seseorang juruterbang,” katanya.
Berkongsi pengalaman mencemaskan pernah dilaluinya, Norlela berkata, antara keadaan paling mencabar yang boleh dikongsikan ialah berlaku satu insiden kebakaran elektrik di dalam kokpit pesawat semasa kami sedang membuat penerbangan maritim.
“Alhamdulillah, dengan komunikasi yang baik dan kerjasama semua anak kapal api itu berjaya dipadamkan, asap dapat dihilangkan dan kami berjaya mendarat dengan selamat.
“Selain itu, cuaca memberikan kesan langsung kepada perancangan dan pelaksanaan penerbangan. Dalam melaksanakan sesuatu misi penerbangan, maklumat cuaca, kedudukan serta perubahan struktur awan perlu dipantau secara berterusan melalui pemerhatian visual, radar cuaca dan maklumat pakar meteorologi.
“Tekanan dan keletihan pula boleh mempengaruhi tumpuan jika tidak diuruskan dengan baik. Oleh itu, persediaan penerbangan, tahap kesihatan serta rehat yang mencukupi amat penting. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, keselamatan penerbangan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Katanya, kerjaya sebagai juruterbang tentera sememangnya menuntut pengorbanan masa yang besar. Latihan, tugasan, penerbangan operasi dan penugasan di luar kawasan tidak semestinya mengikut waktu pejabat.
“Ada masanya saya terpaksa berjauhan daripada keluarga selama beberapa hari atau lebih dari seminggu.
“Saya tidak melihatnya semata-mata sebagai masa yang hilang, tetapi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab perkhidmatan. Sebagai anggota tentera jangan berkira dengan masa kita kepada perkhidmatan,” katanya.
Berkaitan masa bersama keluarga beliau mengakui sukar untuk mencapai keseimbangan itu.
“Sebagai manusia biasa, saya pun tidak sempurna tetapi saya perlu berusaha untuk mendapat keseimbangan itu. Sokongan keluarga amat penting. Kefahaman oleh pasangan juga perkara yang penting.
“Alhamdulillah, ditakdirkan jodoh saya juga dengan seorang juruterbang TUDM. Walaupun kami berada di pangkalan yang berlainan tetapi kami saling faham tugas dan tanggungjawab masing-masing dan saling membantu dan melengkapi keluarga kami demi anak-anak dan tugas kepada negara,” katanya.
Berkongsi pencapaian paling bermakna baginya apabila diberikan kepercayaan untuk memimpin No 20 Skuadron dan menjadi pegawai wanita pertama yang memegang jawatan itu di sini (Pangkalan Tentera Subang).
“Saya melihatnya bukan sekadar satu rekod peribadi, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap kemampuan wanita untuk memikul tanggungjawab kepimpinan dan operasi.
“Sebelum itu, saya juga pernah memenangi Piala Komandan atas anugerah Pelatih Terbaik Penerbangan pada tahun 2005 di mana ia juga adalah kali pertama dimenangi oleh pelatih penerbangan wanita,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
