KOTA KINABALU, 5 September 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 133 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi 20 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di pelbagai lokasi strategik seluruh negeri dalam tempoh lapan hari.
Operasi berkenaan dilaksanakan bermula 27 Ogos hingga 3 September 2026 sebagai sebahagian usaha berterusan JIM Sabah membanteras kehadiran PATI serta mengesan penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 289 individu di beberapa lokasi yang dikenal pasti.
Katanya, hasil pemeriksaan itu membawa kepada penahanan 133 PATI yang terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI,” katanya.
Daripada jumlah PATI yang ditahan, seramai 97 orang adalah warga Filipina, terdiri daripada 45 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
Sementara itu, warga Indonesia yang ditahan membabitkan 32 individu, iaitu 27 lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa.
Empat lagi tahanan merupakan warga Pakistan dan semuanya adalah lelaki dewasa.
Menurut Sh Sitti Saleha, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh daerah Sabah bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta tindakan dapat diambil terhadap warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen atau pas yang sah.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Orang ramai turut diingatkan agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara dan melaporkan kegiatan PATI kepada saluran rasmi JIM Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI kepada JIM Sabah menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).
JIM Sabah menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi yang dikenal pasti bagi mengekang kemasukan serta keberadaan PATI dan memastikan peraturan imigresen negara terus dipatuhi. – DAKWAT RAKYAT POST
