TUARAN, 5 September 2026 – Kerajaan Sabah akan terus memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kemudahan dan fasiliti kesihatan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan perubatan yang cepat, selamat, berkualiti serta adil tanpa mengira lokasi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penambahbaikan berterusan dalam sektor kesihatan amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya berikutan cabaran negeri itu yang mempunyai kawasan geografi luas, taburan penduduk yang tidak sekata serta akses perkhidmatan yang berbeza antara kawasan.
Menurut beliau, faktor geografi dan kesukaran akses tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat di kawasan pedalaman dan lokasi sukar dicapai dinafikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan sukar dicapai, memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Sabah juga memerlukan lebih banyak kemudahan perubatan serta hospital pakar bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Katanya, penambahan jumlah doktor pakar turut penting supaya rakyat Sabah dapat menerima rawatan yang lebih berkesan dalam suasana kemudahan perubatan yang selesa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan IJN Sdn Bhd yang dimeterai pada April lalu bagi merealisasikan pembinaan sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Kota Kinabalu merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Sabah.
Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan dan seterusnya meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan rawatan jantung di negeri ini.
Sementara itu, Hajiji berkata penganjuran Kembara TOBaTS mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama kerajaan negeri dalam melindungi rakyat daripada risiko penggunaan produk kesihatan dan ubat-ubatan yang tidak sah.
Katanya, perkembangan teknologi digital dan penggunaan media sosial kini memudahkan produk kosmetik, suplemen serta ubat-ubatan tidak berdaftar dipasarkan secara terus kepada orang ramai.
Keadaan itu, katanya, turut memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwaan berkaitan perubatan yang mengelirukan serta tidak mempunyai asas yang kukuh.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat tidak boleh dan tidak akan sesekali dikompromi. Penggunaan ubat tidak sah boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan kerana produk sedemikian tidak memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan, malah boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan membawa maut,” katanya.
Hajiji berkata usaha membanteras ubat tidak sah tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.
Sebaliknya, katanya, masyarakat sendiri perlu mempunyai pengetahuan mencukupi, sentiasa berwaspada dan bijak membuat pertimbangan sebelum membeli atau menggunakan sesuatu produk kesihatan.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah menggunakan aplikasi MyUbat yang disediakan KKM untuk membuat semakan sebelum membeli ubat.
Pada masa sama, pengguna dinasihatkan memastikan ubat yang dibeli mempunyai pendaftaran KKM serta mendapatkan pandangan doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan produk kesihatan yang baharu.
“Saya berharap program Kembara TOBaTS menjadi titik tolak kepada pembentukan satu budaya baharu iaitu budaya celik ubat serta budaya menolak sebarang bentuk penipuan dan penyalahgunaan berkaitan ubat,” katanya.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan KKM dan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh agenda kesihatan serta kesejahteraan rakyat Sabah secara berterusan dan menyeluruh.
Menurutnya, kerjasama antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan agensi kerajaan negeri amat penting bagi memastikan kempen TOBaTS dapat disampaikan kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi di seluruh Sabah.
Dalam perkembangan lain, ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan proaktif yang bersesuaian sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dan berpotensi menjejaskan kesihatan rakyat.
Beliau berkata langkah berkenaan akan diputuskan melalui jawatankuasa di peringkat negeri berdasarkan keadaan dan keperluan semasa. – DAKWAT RAKYAT POST
