PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mencadangkan semua bekas perdana menteri diundang ke sambutan hari kebangsaan secara automatik.
Khairy membuat cadangan itu selepas kerajaan dikecam kerana tidak mengundang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di Putrajaya.
“Untuk kita meleraikan masalah ini, saya cadangkan supaya selepas ini, perdana menteri dan juga Jemaah Menteri buat keputusan, kita balik kepada keadaan asal sebelum tahun 2018 iaitu kalau ada bekas perdana menteri yang masih hidup, wajib dijemput untuk datang ke hari kebangsaan dan diberi kerusi utama pada barisan depan.
“Tidak kira mereka parti mana, tidak kira kalau dia kawan atau lawan. Itulah perkara yang wajar dilakukan.
“Sama ada dia nak datang ke tidak, terpulang kepada mereka,” katanya dalam episod terbaharu podcast ‘Keluar Sekejap’.
Khairy, yang juga bekas menteri, berkata senarai keutamaan persekutuan meletakkan bekas perdana menteri di tempat ke-10, selepas perdana menteri di tempat keenam dan menteri-menteri persekutuan di tempat ke-16.
Senarai itu merupakan susunan istiadat bagi kerabat diraja, pegawai tinggi kerajaan dan kenamaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah, yang mempengerusikan sekretariat yang mengendalikan sambutan tahun ini, berkata bekas perdana menteri tidak lagi diundang secara automatik ke sambutan hari kebangsaan sejak 2018.
Halim turut berkata sekretariat dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri bahawa Mahathir akan berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos.
Katanya, perkara itu berdasarkan permohonan ‘Kemudahan Berehat Ke Luar Negara’ yang diterima dan diluluskan oleh perdana menteri, selaras peruntukan mengenai saraan bekas perdana menteri bawah Akta Saraan Ahli Parlimen.
Rakan pengacara ‘Keluar Sekejap’, Shahril Hamdan, berkata ketiadaan undangan rasmi kepada Mahathir bagi sambutan tahun ini sememangnya akan menimbulkan persepsi negatif.
“Macam mana putar pun, macam mana jelaskan pun, ia tetap nampak tidak bagus,” katanya.
“Saya nampak beberapa komen sinis ‘ini adalah Tun M saja nak buat drama dan sebagainya. Apa pun, apa yang berlaku itu kelihatan tidak bagus,” katanya.
Kredit sumber: Free Malaysia Today
