KUALA LUMPUR: Seramai 1,512 anak pekerja migran Indonesia (PMI) di Malaysia mendapat pengesahan status kewarganegaraan negara terbabit.
Menteri Hukum (Undang-Undang) Indonesia, Supratman Andi Agtas berkata, pengesahan status berkenaan penting bagi memastikan anak-anak terbabit mendapat perlindungan undang-undang, selain membolehkan mereka menikmati hak sebagai warganegara.
Katanya, pengesahan status kewarganegaraan itu dilaksanakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Tawau Sabah, serta Johor Bahru, Johor.
“Kerajaan Indonesia prihatin kerana ada anak-anak kita yang tidak dapat memperoleh hak sebagai warganegara secara sempurna dan tidak mempunyai kepastian dari segi undang-undang.
“Justeru, kami daripada Kementerian Hukum (Undang-Undang) bersama empat kementerian lain hadir di sini, untuk menegaskan komitmen kami dalam memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program ‘Pasti Ada Solusi’ di Kedutaan Indonesia di Malaysia, hari ini.
Turut hadir Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia Agus Andrianto dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo.
Dalam pada itu, Supratman berkata, ketiadaan status kewarganegaraan bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya menjadi asas kepada akses anak-anak berkenaan terhadap pendidikan, kesihatan, dokumen kependudukan, bantuan sosial dan perlindungan undang-undang.
“Bermula dengan pengesahan status kewarganegaraan, ia akan menjadi laluan kepada anak-anak kita untuk bersekolah dan meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Ia juga membolehkan mereka mendapat bantuan serta perlindungan undang-undang ketika berada di luar negara,” katanya.
Selain perkara membabitkan pengesahan status kewarganegaraan, Supratman turut menyertai Dialog ‘Pasti Ada Solusi’ bersama kira-kira 300 PMI di Kedutaan Indonesia di sini.
Dialog berkenaan membolehkan PMI menyampaikan masalah, aduan dan pertanyaan secara terus kepada wakil lima kementerian terbabit, selain penyertaan secara dalam talian.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 4 September 2026
