KUDAT, 4 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil kira pengalaman Malaysia berdepan ancaman keselamatan selain perkembangan pertahanan negara jiran, sebagai asas dalam merancang keupayaan pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, ia termasuk perhatian terhadap pembangunan pertahanan Filipina, khususnya di kawasan kepulauan yang berhampiran Malaysia.
“Kita memang mempunyai maklumat tentang pembangunan yang berlaku di negara jiran kita, Filipina, pertamanya di pulau-pulau yang dekat dengan sepanjang negara.
“Dalam masa yang sama, kita di peringkat Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, bukan sahaja mengambil kira pembangunan itu, tetapi memang kita ada perancangan masa depan kerana kita tahu berdasarkan pengalaman kita yang lepas, kita ada ancaman-ancaman dan kita sudah merancang,” katanya.
Adly berkata, perancangan tersebut bukan semata-mata sebagai tindak balas terhadap pembangunan pertahanan negara jiran, sebaliknya sebahagian daripada perancangan keselamatan negara, khususnya bagi Sabah.
Tambah beliau, peningkatan keupayaan maritim, udara dan darat termasuk pembinaan kapal tempur, kapal pesisir serta perolehan aset udara baharu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang berkenaan.
“Kalau kita lihat pembangunan laut kita, sama ada pembinaan kapal tempur kita ataupun pembinaan kapal pesisir kita, semua adalah sebahagian daripada perancangan kita untuk memastikan keselamatan, terutamanya di Sabah,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kawasan Operasi Pasir Utara di Kem Sri Kudat, hari ini.
Dalam pada itu, MINDEF turut terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan di Sabah melalui Op Pasir Sektor Kudat, khususnya sektor utara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Tumpuan diberikan terhadap kesiapsiagaan anggota, keupayaan aset serta penambahbaikan infrastruktur di kem dan pos operasi, termasuk kawasan kepulauan sekitar Kudat.
Adly berkata, meskipun tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini berada pada tahap tertinggi, beberapa keupayaan masih perlu dipertingkatkan selaras dengan perancangan pertahanan negara dan Rancangan Malaysia Ke-13.
Antara keupayaan dan teknologi yang diberi perhatian termasuk pembangunan sistem radar serta penggunaan dron bagi meningkatkan pemantauan keselamatan, khususnya di kawasan kepulauan Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah memperkukuh keselamatan penting bagi memastikan sektor ekonomi Sabah termasuk pelancongan, perdagangan dan kawasan zon ekonomi bebas terus beroperasi dalam persekitaran yang selamat.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke Pos Dogoton dan Pos Karakit serta menyantuni 13 veteran ATM, keluarga dan balu menerusi Program Peduli Veteran Madani di sekitar daerah Kudat.
Selaras Teras 1 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030, lawatan berkenaan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh keupayaan pertahanan bagi memastikan ATM sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan, melindungi kepentingan strategik serta mempertahankan kedaulatan negara.
Kredit sumber: Berita RTM/Disiarkan pada 4 September 2026
