TAWAU, 6 September 2026 – Kerajaan Sabah terus memberi perhatian terhadap isu tempoh menunggu pesakit yang panjang di hospital, khususnya di fasiliti kesihatan daerah dan kawasan luar bandar.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, masalah berkenaan bukan hanya berlaku di Hospital Daerah Tawau, malah turut dihadapi hospital di kawasan bandar besar termasuk Kota Kinabalu.
Menurut beliau, jumlah pesakit dan pengunjung yang tinggi selain kekangan tenaga kerja antara faktor yang perlu diberi perhatian bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat disampaikan dengan baik.
“Benda ini sudah pun saya bincangkan di peringkat Hospital Daerah Tawau. Sebenarnya isu ini bukan hanya di peringkat daerah Tawau, malah di mana-mana lagi, terutama di bandar besar seperti Kota Kinabalu sendiri mempunyai masalah yang sangat serius.
“Ini memang isu yang kita cuba mendapatkan solusi yang lebih baik walaupun dalam jangka masa yang pendek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat DUN Kukusan di sini, hari ini.
Rina berkata, pihak pengurusan hospital telah melaksanakan beberapa perubahan termasuk menambah baik sistem pengurusan bagi memastikan urusan pesakit dapat dikendalikan dengan lebih teratur dan seragam.
Katanya, penambahbaikan itu penting supaya setiap pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan diberi perhatian dan tidak terlepas daripada menerima perkhidmatan sewajarnya.
“Daripada peringkat pentadbiran pengurusan sendiri ada banyak sistem yang telah direform dan telah diubah untuk memastikan, untuk menyeragamkan.
“Setakat ini tidak ada lagi laporan bahawa pesakit-pesakit ini tidak dilayani, tidak di-entertain, tidak di-report,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui kesesakan serta tempoh menunggu yang panjang akibat kekurangan kakitangan masih menjadi antara perkara yang membimbangkan pihak kementerian.
Bagaimanapun, Rina berkata keadaan tersebut masih dapat dikawal melalui langkah penambahbaikan pengurusan yang sedang dilaksanakan di hospital terbabit.
“Walaupun isu ini telah menjadi satu kebimbangan kita daripada segi yang menunggu dengan sangat sibuk sebab kekurangan kakitangan, bagaimanapun isu ini masih dapat ditangani.
“Belum ada lagi laporan bahawa pesakit-pesakit ini tidak dapat di-entertain dan sebagainya,” katanya.
Rina berkata, kementerian akan terus memantau dan memberi perhatian terhadap isu berkenaan bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan sentiasa dipertingkatkan.
Katanya, perkara itu amat penting terutama bagi memastikan penduduk di kawasan daerah dan luar bandar turut mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang teratur, cekap dan berkesan. – DAKWAT RAKYAT POST
