PETALING JAYA – Keadaan jerebu yang semakin buruk di Kuala Lumpur mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila beberapa mercu tanda terkenal seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX) dilaporkan tidak lagi kelihatan dengan jelas.
Perkongsian pengguna media sosial turut menunjukkan orang ramai berharap kerajaan mempertimbangkan penutupan sementara sekolah selain menggalakkan majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah berikutan keadaan kualiti udara yang semakin membimbangkan.
Pengguna @adiazwari_ menerusi perkongsian di media sosial berkata, keadaan jerebu di ibu negara semakin teruk sehingga beberapa mercu tanda tidak lagi kelihatan.
“Kemaskini Ahad pukul 2.36 petang, Malaysia jerebu makin teruk ya. KLCC, Menara KL, TRX semua tak nampak dah. Harap anak kecil boleh cuti sekolah esok dan semua boleh kerja dari rumah,” katanya.
Sementara itu, pengguna @akmalnizer meminta kerajaan menggalakkan majikan di Kuala Lumpur membenarkan pekerja bekerja dari rumah susulan keadaan jerebu yang menyebabkan ketidakselesaan fizikal.
“Boss, kerja dari rumah ya? Kerajaan tolong sarankan majikan KL benarkan kami pekerja bekerja dari rumah, makin pedih tekak, mata sekarang ini. Bacaan memang belum lebih 200, tapi sumpah kawasan KL teruk sangat, cuba semak mesin bacaan IPU, takut ada silap,” katanya.
Kebimbangan sama turut dikongsi pengguna @wahyu_houda yang mendakwa keadaan jerebu telah menjejaskan keluarganya.
“Kami satu keluarga dah kena batuk-batuk teruk,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kualiti udara di Sri Aman, Sarawak kekal pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 218 setakat pukul 3.30 petang ini.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara, sebanyak 36 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat dengan IPU antara 101 hingga 200, termasuk beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur, Batu Muda mencatatkan bacaan IPU 164 manakala Cheras (162), selain seluruh Putrajaya yang merekodkan bacaan 162.
Di Selangor pula, Johan Setia mencatatkan bacaan IPU 180, Shah Alam (169), Kuala Selangor (158), Petaling Jaya (158), Klang (156) dan Banting (156).
Samalaju, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori tidak sihat iaitu 197, diikuti Kuching (195), Samarahan (193), Bintulu (191), Mukah (188), Sarikei (186), Ibu Pejabat Polis Daerah Serian (183), Institut Latihan Perindustrian Miri (177), Sibu (175), Miri (172) dan Limbang (157).
Di Sabah, bacaan tidak sihat direkodkan di Politeknik Kota Kinabalu (163), Kota Kinabalu (158), Kimanis (151) dan Labuan (158).
Negeri Sembilan turut terjejas dengan Nilai mencatatkan bacaan IPU 167, Seremban (164) dan Port Dickson (127), manakala di Pahang melibatkan Jerantut (169) dan Temerloh (161).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Segamat (159), Tangkak (151), Batu Pahat (123) dan Kluang (119) di Johor, selain Alor Gajah dan Bukit Rambai di Melaka dengan masing-masing 154.
Sementara itu, sebanyak 24 kawasan lagi mencatatkan bacaan sederhana, iaitu IPU antara 51 hingga 100.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
