LAHAD DATU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lahad Datu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan dalaman dan memperkemas jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Bahagian PGRS Lahad Datu, Ir. Rajesh Datuk Yusof, berkata pembentukan jawatankuasa penaja baharu menjadi platform untuk menyatukan kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan serta memperkemas gerak kerja parti.
Beliau berkata, amanah yang diberikan kepada barisan kepimpinan baharu merupakan tanggungjawab besar yang memerlukan sokongan dan kerjasama semua anggota bagi memastikan PGRS Bahagian Lahad Datu terus berkembang.
Menurutnya, semangat kasih sayang, perpaduan dan keharmonian perlu menjadi asas kepimpinan bagi memastikan bahagian itu bergerak sebagai satu pasukan.
“Dalam perbincangan bersama Presiden, beliau melahirkan harapan supaya kita di Lahad Datu bersatu kerana kemenangan tidak akan dicapai sekiranya kita terus berpecah,” katanya.
Rajesh berkata, gerak kerja mengharmonikan bahagian itu sudah dimulakan selaras dengan mandat dan arahan pucuk pimpinan parti.
Katanya, usaha berkenaan bukan sahaja melibatkan kepimpinan PGRS, malah turut merangkumi kerjasama dengan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta rakan kerjasama parti.
“Kita perlu merapatkan semua ketua, bukan sahaja dalam PGRS tetapi juga dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta rakan kerjasama kita,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan parti perlu bermula dari dalam dengan memastikan sebarang perbezaan pandangan diselesaikan melalui saluran yang betul tanpa menjejaskan hubungan sesama anggota.
“Kita mulakan lembaran baharu, perkuatkan parti dan buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa kita mampu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Mengulas persiapan PRU16, Rajesh berkata, jentera PGRS Bahagian Lahad Datu perlu sentiasa bersedia untuk turun padang dan mendekati masyarakat sekiranya pilihan raya berkenaan diadakan.
Beliau berkata, soal pemilihan calon Parlimen hendaklah diserahkan kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang mempunyai kemampuan memenangi kerusi berkenaan.
“Kita perlu turun padang, menyantuni masyarakat dan memastikan parti bergerak tanpa masalah, kekacauan atau pertelingkahan,” katanya.
Menurutnya, PRU16 juga dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh kedudukan GRS di Lahad Datu sebelum gerak kerja diteruskan bagi menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, struktur organisasi bahagian turut merangkumi penyelaras di peringkat DUN bagi memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
Katanya, ketua cawangan juga perlu mengenali ahli masing-masing, menjaga kebajikan serta memberi bimbingan supaya struktur parti di peringkat akar umbi dapat berfungsi dengan baik.
Sementara itu, barisan kepimpinan baharu PGRS Bahagian Lahad Datu menyaksikan Datuk Norazlina Mohd Arif dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian, manakala Muhammad Syahid Gulam sebagai Naib Ketua Bahagian.
Rajesh berkata, barisan kepimpinan baharu itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan, memperkemas jentera serta mendekati masyarakat secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan ketua bahagian terdahulu atas sokongan dan restu yang diberikan, selain berterima kasih kepada Presiden PGRS atas kepercayaan untuk menerajui bahagian berkenaan.
