PAPAR: Rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasama politik masih belum dimulakan.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebarang keputusan mengenai agihan kerusi perlu dibincangkan bersama kepimpinan gabungan itu yang terdiri daripada beberapa parti.
Katanya, beliau tidak wajar mengemukakan pandangan secara peribadi mengenai perkara berkenaan selagi belum dibincangkan secara rasmi di peringkat GRS.
Bagaimanapun, beliau menegaskan gabungan itu tidak menutup pintu kerjasama dengan mana-mana parti, sama ada sebelum pilihan raya mahupun selepas pembentukan kerajaan.
Menurutnya, perkara paling penting ketika ini ialah memastikan kestabilan kerajaan negeri supaya pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat tidak terjejas.
“Kalau kita lihat, GRS ini terbuka. Dalam PRN yang lepas dulu pun kita ada bekerjasama dalam pilihan raya negeri dan kerjasama pun kita buat juga dengan parti lain selepas pilihan raya.
“Jadi, bagi saya, apa yang penting adalah mewujudkan kestabilan kepada kerajaan negeri untuk membolehkan kita memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Jadi, itu yang jauh lebih penting sebab kita pernah terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain sebelum pilihan raya dan begitu juga kita bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud pada 20 November lalu menyatakan gabungan itu berhasrat mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15, iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
PH Sabah juga sedang meneliti beberapa kerusi tambahan yang berpotensi ditandingi, termasuk kawasan yang bukan dimiliki GRS, tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan komponen dalam kerajaan negeri.
Mustapha sebelum ini turut mengesahkan rundingan rasmi antara PH dan GRS bagi menghadapi PRU16 belum berlangsung, meskipun perbincangan tidak rasmi sudah diadakan.
Situasi itu menunjukkan ruang kerjasama antara kedua-dua gabungan masih terbuka, namun keputusan mengenai pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya belum dimuktamadkan.-DRP
