KOTA KINABALU, 7 September 2026 – Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, memaklumkan beliau mengalami kecederaan di kepala selepas tiba-tiba berasa pening sebelum pengsan ketika menunaikan solat malam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Salleh berkata kejadian itu berlaku selepas beliau mengalami cirit-birit selama tiga hari.
Menurutnya, ketika sedang solat, beliau secara tiba-tiba berasa pening sebelum pengsan dan terjatuh.
Dalam kejadian itu, kepalanya terkena meja yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan kecederaan yang memerlukan jahitan.
“Saya mengalami sakit diarrhea selama tiga hari. Ketika solat semalam, saya tiba-tiba berasa pening lalu pengsan dan terjatuh. Kepala saya terkena meja di hadapan dan mengalami luka yang memerlukan jahitan,” katanya.
Bagaimanapun, Salleh berkata rawatan telah selesai dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Beliau berkata, berdasarkan nasihat doktor, beliau perlu berehat serta berada di bawah pemantauan untuk beberapa hari bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kunjungan daripada orang ramai buat sementara waktu tidak digalakkan supaya beliau dapat berehat sepenuhnya.
“Alhamdulillah, rawatan telah selesai dan keadaan saya kini stabil. Atas nasihat doktor, saya perlu berehat dan berada di bawah pemantauan untuk beberapa hari,” katanya.
Salleh turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil berat mengenai keadaannya serta menitipkan doa dan keprihatinan.
“Terima kasih atas doa, keprihatinan dan kefahaman semua,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
