Bangkok: Digelar ‘bunga iblis’ kerana rupanya yang hitam dan menyeramkan, tumbuhan berbunga tanpa daun, Thismia daemona dikenal pasti sebagai spesies baharu selepas ditemui tumbuh tersembunyi di lantai hutan sebuah taman negara di barat Thailand, lapor ScienceDaily.
Rupa bentuk tumbuhan ini yang unik menjelaskan nama dramatik yang diberikan.
Bunganya kebanyakannya berwarna hitam dengan struktur menyerupai tanduk yang tumbuh dari bahagian berbentuk kubah dikenali sebagai ‘mitra’ sementara tompok jingga kemerahan terang berhampiran pangkal bunga pula kelihatan seperti mata yang menyala, sekali gus menyerlahkan penampilannya yang seakan-akan iblis.
Tumbuhan itu tergolong dalam genus Thismia iaitu kumpulan tumbuhan kecil yang kadangkala dikenali sebagai ‘pelita peri’.
Tumbuhan berkenaan tidak mempunyai klorofil dan tidak menjalankan proses fotosintesis sebaliknya, ia mendapatkan nutrien melalui kulat yang terdapat di bawah tanah dan hampir sepanjang hayatnya tersembunyi di bawah lapisan daun reput di lantai hutan.
Ahli botani dari Universiti Chulalongkorn dan Universiti Prince of Songkla. Dr Sahut Chantanaorrapint menemui spesies baharu itu ketika menjalankan tinjauan di Taman Negara Thong Pha Phum.
Tumbuhan berkenaan ditemukan tumbuh pada ketinggian hampir 1,000 meter (m) dari paras laut iaitu persekitaran yang agak tinggi dan kering mengikut musim berbanding habitat biasa tumbuhan dalam genus berkenaan.
“Penemuan Thismia daemona di Taman Negara Thong Pha Phum sememangnya satu kejutan besar.
“Biasanya, spesies Thismia diketahui tumbuh di hutan hujan tanah rendah yang sentiasa lembap. Bagaimanapun, populasi ini ditemukan di hutan malar hijau pergunungan yang mengalami perubahan musim pada ketinggian hampir 1,000 m dari paras laut,” katanya.
Penemuan itu turut mengubah kefahaman saintis mengenai taburan geografi kumpulan tumbuhan berkenaan. Thismia daemona tergolong dalam seksyen Geomitra dalam genus Thismia yang sebelum ini hanya direkodkan di Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatra.
Penemuannya di Thailand meluaskan taburan seksyen berkenaan lebih jauh ke utara buat kali pertama.
“Dengan kehidupannnya yang tersembunyi di bawah tanah dan penuh misteri di lantai hutan, pasukan kami sebulat suara bersetuju bahawa nama Thismia daemona amat sesuai kerana menggambarkan sifatnya yang misteri dan menyerupai iblis,” katanya.
Walaupun mempunyai rupa yang menarik, kelangsungan hidup spesies baharu ini berdepan ancaman.
Saintis hanya menemui satu populasi yang terdiri kurang daripada 50 pokok di kawasan yang lebih kecil daripada padang bola sepak.
Berikutan jumlahnya yang sangat terhad, spesies itu dinilai secara sementara dalam kategori Terancam Kritikal.
Kebimbangan turut timbul kerana habitatnya terletak dalam kawasan taman negara yang menerima kunjungan pelancong yang tinggi.
Dr Sahut berkata, langkah penting seterusnya ialah mengamalkan pendekatan pemuliharaan mampan yang selaras dengan konsep Manusia dan Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengimbangi usaha memelihara kepelbagaian biologi dan pembabitan manusia.
“Dengan menggalakkan penduduk tempatan berbangga terhadap warisan semula jadi mereka, kita bukan sahaja dapat melindungi mikrohabitat malah, menyokong ekopelancongan mampan yang diterajui komuniti,” katanya.
Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal akses terbuka PhytoKeys. Dengan penemuan Thismia daemona, Thailand kini diketahui menjadi habitat kepada 16 spesies Thismia.
Kredit sumber: Harian Metro
