SEREMBAN: Lelaki ditembak mati oleh polis di sebuah rumah di Garden Homes, Seremban 2, di sini, tengah hari semalam, adalah ketua sebuah sindiket pemprosesan dadah yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun menghasilkan bahan terlarang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika serbuan di sebuah rumah sewa yang dijadikan makmal dadah haram itu, pihaknya merampas pelbagai bentuk bahan kimia dadah yang dianggarkan bernilai RM27.5 juta.
Beliau berkata, serbuan itu adalah kejayaan JSJN Bukit Aman menumpaskan sindiket pemprosesan dadah menerusi Op Thrips secara berstruktur di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Berdasarkan risikan dan maklumat, JSJN Bukit Aman melaksanakan dan menyerbu lokasi yang disyaki menjalankan aktiviti memproses dadah kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
“Serbuan pertama di sebuah rumah teres di kawasan Garden Homes. Ketika serbuan, seorang suspek lelaki bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan balas sebelum suspek didapati tidak sedarkan diri dan pihak hospital mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media hari ini.
Hussein berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rumah berkenaan dijadikan makmal mini haram untuk memproses dadah jenis MDMA dan berjaya merampas pelbagai jenis bentuk bahan kimia.
“Antara yang dirampas adalah cecair disyaki dadah MDMA anggaran berat 64.49 kilogram (kg), ketulan disyaki dadah MDMA (5.2 kg), pil disyaki dadah MDMA (104.8 kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya.
Beliau berkata, dua serbuan susulan dilaksanakan di Seremban 2 dan di sebuah kondominium di Kuchai Lama, Kuala Lumpur sebelum berjaya menangkap dua ahli sindiket membabitkan seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan.
“Hasil semakan mendapati suspek yang ditembak mati berusia 52 tahun adalah ketua sindiket yang mempunyai pengalaman dan kepakaran mengenai bahan kimia untuk menghasilkan dadah.
“Suspek didapati terbabit dengan pemprosesan dadah sejak 90-an dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah, dikehendaki bagi kes penculikan selain memiliki rekod kes jenayah. Sepucuk pistol jenis Revolver dirampas di lokasi kejadian.
“Suspek wanita berusia 32 tahun mempunyai 12 rekod jenayah dengan enam daripadanya membabitkan dadah manakala suspek lelaki berusia 34 tahun mempunyai 10 rekod jenayah termasuk lapan berkaitan dadah,” katanya.
Katanya, sindiket yang aktif sejak Januari lalu itu menjadikan kawasan perumahan yang berkepadatan penduduk rendah sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bagi mengaburi kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, dadah jenis ekstasi yang dihasilkan sindiket adalah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa selain pihaknya percaya sindiket berkenaan mendapat bantuan ahli sindiket lain untuk membawa masuk bahan kimia untuk penghasilan dadah itu dari luar negara.
“Menerusi operasi ini juga, pihaknya menyita pelbagai harta bernilai RM98,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan adalah RM27.6 juta,” katanya.
Mengulas mengenai suspek, lelaki dan wanita yang ditahan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi perbuatan cubaan membunuh serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kredit sumber: Buletin TV3
