Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan laporan media mendakwa agensi itu mengeluarkan kenyataan berhubung warga Rohingya di negara ini bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan warga Rohingya tanpa dokumen yang sah tetap dikategorikan sebagai PATI mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Namun, beliau menjelaskan bahawa warga Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah hanya diberikan pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan bagi dua kesalahan imigresen.
”Pengecualian itu hanya membabitkan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.
”Namun, mereka masih tertakluk kepada undang-undang imigresen yang lain seperti kesalahan bekerja tanpa pas atau permit sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zakaria turut mengingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR berkenaan.
Mengulas mengenai pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, beliau berkata ia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka.
Katanya, ia turut dipantau menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
”Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka di negara ini menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
”Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh MKN melalui jawatankuasa Kabinet berkenaan.
Katanya, JIM kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar Kerajaan yang ditetapkan.
Kredit sumber: Harian Metro
