LANGKAWI – Kebimbangan sebuah keluarga selepas gagal menghubungi seorang lelaki selama tiga hari membawa kepada penemuan mayat mangsa di bilik sewanya di Kampung Ranggut, Padang Matsirat, di sini semalam.
Mangsa, Khairol Iqmal Rohidin, 37, yang tidak bekerja dan berasal dari Kangar, Perlis ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di atas katil di bilik berkenaan lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pemilik bilik sewa menerima panggilan daripada sepupu mangsa pada pukul 6.55 petang semalam yang memaklumkan Khairol Iqmal sudah tiga hari tidak dapat dihubungi.
“Pemilik mendapati bilik sewa itu dalam keadaan berkunci sebelum memanggil mangsa beberapa kali, namun tiada jawapan.
“Dia kemudiannya meninjau bilik tersebut melalui tingkap dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri atas katil sebelum melaporkan kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau tanda-tanda berlaku kejadian jenayah. Selain itu, mangsa juga tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit.
Mayat Khairol Iqmal dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Maliha untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
