TAWAU: Aktiviti mandi-manda di Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai lemas selepas arus sungai secara tiba-tiba menjadi deras, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa bersama 12 rakannya berkunjung ke sungai berkenaan untuk mandi-manda.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa bersama enam rakannya berada di kawasan sungai, manakala rakan-rakan lain berada tidak jauh dari lokasi bagi menyediakan makanan.
“Keadaan berubah apabila arus sungai secara tiba-tiba menjadi deras. Enam rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri ke tebing, tetapi mangsa tidak sempat berbuat demikian sebelum tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wilynton berkata, rakan-rakan mangsa kemudian meminta bantuan daripada penjaga Sungai Tagal yang segera terjun ke sungai dan melakukan usaha mencari mangsa.
“Mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan pucat serta tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, doktor yang melakukan pemeriksaan dan rawatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut dan proses bedah siasat.
Katanya, pemeriksaan fizikal ke atas mangsa tidak menemukan sebarang tanda kecederaan berkaitan jenayah atau unsur mencurigakan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi dan tindakan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil kira aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di sungai, khususnya apabila keadaan arus menunjukkan perubahan mendadak.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak meneruskan aktiviti sekiranya arus sungai deras atau keadaan persekitaran dilihat tidak selamat. – DAKWAT RAKYAT POST
