KUNAK, 8 September 2026 – Kerajaan Sabah akan terus mempertahankan tuntutan bayaran 40 peratus daripada hasil bersih yang menjadi hak negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, tuntutan berkenaan antara perkara yang akan dibawa dalam mesyuarat berkaitan MA63 yang dijadual dipengerusikan Perdana Menteri pada Jumaat ini.
Menurut beliau, Sabah akan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan yang turut memberi tumpuan kepada beberapa tuntutan serta perkara di bawah MA63 yang masih belum dimuktamadkan.
“Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menghargai kesungguhan Perdana Menteri dalam memastikan pelaksanaan MA63 terus diberi perhatian, dengan sembilan perkara di bawah perjanjian berkenaan berjaya diselesaikan sepanjang pentadbiran beliau, termasuk penurunan beberapa kuasa kepada Sabah.
Katanya, empat lagi perkara yang telah diselesaikan sebelum ini menjadikan keseluruhan 13 perkara berkaitan MA63 berjaya dimuktamadkan.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan, termasuk tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah.
Menurut Hajiji, Kerajaan Persekutuan pada asasnya telah bersetuju dengan tuntutan berkenaan, namun beberapa perkara teknikal masih perlu diselesaikan sebelum pelaksanaannya dapat dimuktamadkan.
“Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa.
“Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu,” katanya.
Beliau berkata, isu yang masih belum selesai akan terus dibawa dalam rundingan dan mesyuarat MA63 akan datang bagi mendapatkan penyelesaian sewajarnya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji turut menyambut baik kemajuan pembangunan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang kini hampir siap dan dijangka memulakan pengeluaran vitamin E sebelum penghujung tahun ini.
Katanya, projek tersebut merupakan satu perkembangan positif dalam usaha memperluaskan kegiatan hiliran berasaskan sawit, selain membantu menambah sumber pendapatan Kumpulan Sawit Kinabalu.
“Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun.
“Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya,” katanya.
Hajiji berkata, projek berkenaan dipercayai merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan diharap mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan Kumpulan Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya.
“I think this is the first in Malaysia. Jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga syarikat kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Hajiji bersama rombongan tiba di kilang berkenaan dan disambut Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr Musa serta Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg.
Kunak Lipids Sdn Bhd ialah anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengendalikan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient di Kunak. – DAKWAT RAKYAT POST
