MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin diumumkan menjelang akhir bulan ini.
Berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Sungai Udang semalam, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata pembubaran DUN akan dibuat dalam tempoh `dua kali Jumaat’ lagi.
“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya pada majlis minum pagi dan ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu, di sini semalam.
Yang turut hadir, EXCO Kanan Negeri yang juga Penyelaras Pembangunan DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Kelmarin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Ab Rauf mempercepatkan pengumuman pembubaran DUN Melaka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau dilaporkan berkata, pengumuman berkenaan tidak seharusnya ditangguhkan terlalu lama kerana rakyat, khususnya golongan muda perlu diberikan ruang untuk menentukan hala tuju dan masa depan negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut mengesahkan ada rundingan bersama beberapa gabungan parti untuk menjalinkan persefahaman politik pada PRN.
“Melaka ini ibarat anak dara cantik, ramai nak masuk meminang. Saya jadi bapa susah nak tunggu (buat keputusan kerana) semua orang datang tanya bila (nak bersama), baik (bersama) dengan saya (gabungan parti), baik (bergabung) dengan saya… tidak.
“Demi perjuangan, saya tidak akan buat keputusan atas sifat kawan, (sebaliknya) saya akan membuat keputusan atas sifat politik demi perjuangan membela dan membina semula parti kita yang sudah pun dipijak dan dihina selama ini,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
