HYDERABAD: Pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah semalam dilencongkan ke Chennai, India selepas disyaki mengalami masalah pada satu daripada enjinnya, menurut laporan media India.
Penerbangan MH156 yang membawa 186 penumpang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Chennai sebelum pesawat itu dibawa ke ruang parkir, manakala penumpang disediakan penginapan di lapangan terbang, menurut laporan Times of India.
“Terdapat masalah teknikal membabitkan enjin nombor dua.
“Syarikat penerbangan dan pasukan teknikal berkaitan sedang menjalankan penilaian lanjut terhadap pesawat serta masalah berkenaan,” kata jurucakap lapangan terbang kepada agensi berita PTI.
Menurut The Hindu yang memetik pegawai Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India (AAI), penerbangan itu berlepas dari Kuala Lumpur jam 3.30 petang sebelum juruterbang mengesyaki berlaku kerosakan pada enjin dan meminta kebenaran untuk mendarat di Chennai.
Kredit sumber: BERNAMA/Berita Harian
