KINABATANGAN: Harga baja yang kekal tinggi terus memberi tekanan kepada pengusaha sawit di Sabah, dengan pengurangan penggunaannya bagi mengawal kos dikhuatiri menjejaskan hasil tanaman dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Pengusaha sawit di Kampung Kasih Sayang, Bukit Garam, Nazwan Izwani Nordin, 26, berkata, peningkatan kos bukan sahaja melibatkan baja, malah turut merangkumi racun dan bahan kimia pertanian lain yang diperlukan untuk menguruskan ladang.
Menurutnya, harga baja yang sebelum ini sekitar RM55 bagi satu karung 50 kilogram kini meningkat kepada kira-kira RM120 bagi 60 kilogram.
“Dulu, saya masih ingat baja 50 kilogram harganya RM55 satu karung. Sekarang, 60 kilogram sudah mencecah RM120,” katanya.
Bagi mengurangkan kos operasi, Nazwan turut menggunakan tandan kosong kelapa sawit sebagai bahan organik di ladangnya.
Bagaimanapun katanya, kaedah itu tidak dapat menggantikan sepenuhnya nutrien yang dibekalkan melalui penggunaan baja kimia.
Kenaikan harga baja mula dirasai dengan lebih ketara susulan tercetusnya konflik Rusia-Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global, sekali gus meningkatkan kos bahan mentah dan penghantaran.
Sementara itu, Pengasas Baja Harapan, Steve Lee berkata, Sabah masih banyak bergantung kepada bahan mentah import bagi pengeluaran baja, menyebabkan harga produk berkenaan terdedah kepada gangguan bekalan global dan peningkatan kos logistik.
Menurutnya, walaupun keadaan bekalan kini lebih stabil, harga baja masih berada pada paras tinggi dan pengurangan kadar pembajaan boleh memberi kesan terhadap produktiviti pokok sawit dalam jangka panjang.
“Jika dalam tempoh setahun tanaman sawit tidak menerima baja mengikut keperluannya, kesannya boleh berlanjutan sehingga dua atau tiga tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, keadaan itu turut diburukkan oleh faktor cuaca termasuk kemarau yang memberi tekanan berganda kepada tanaman sawit.
Kenaikan harga baja bukan sahaja meningkatkan kos operasi pengusaha, malah berpotensi menjejaskan pengeluaran sawit Sabah sekiranya kadar pembajaan terus dikurangkan.
Sabah menyumbang 4.27 juta tan atau 22.1 peratus daripada pengeluaran minyak sawit mentah negara pada 2024.
Justeru, isu harga baja yang tinggi bukan sekadar membabitkan peningkatan kos di peringkat ladang, malah berpotensi memberi kesan terhadap produktiviti dan pengeluaran sawit Sabah pada tahun-tahun mendatang.
Kredit sumber: TV Sarawak/Disiarkan pada 7 September 2026
